NATIONAL

Pempengaruh hantar mesej lucah disambung reman lagi

Sinar Harian 26/05/2025 | 05:30 MYT
Kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. - Gambar hiasan
GOMBAK: Seorang pempengaruh yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes beberapa mesej berbaur lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun disambung reman sehingga esok.


Ringkasan AI
  • Seorang pempengaruh lelaki berusia 22 tahun disambung reman sehingga esok bagi membantu siasatan kes mesej lucah kepada remaja perempuan berusia 14 tahun.
  • Suspek ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan, dan siasatan awal mendapati mesej serta imej tidak senonoh dihantar sejak awal Mei.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 22 tahun dikeluarkan selepas permohonan dibuat bagi siasatan lanjut.

“Suspek sebelum ini direman selama empat hari bermula Jumaat hingga hari ini. Justeru, polis memohon sambungan reman dan dibenarkan untuk satu hari lagi.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lelaki terbabit ditahan polis pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada remaja bawah umur.

Penahanan lelaki tersebut dibuat susulan laporan dikemukakan ibu mangsa.

Siasatan awal mendapati, suspek menghantar beberapa imej tidak senonoh serta mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal Mei lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. - Sinar Harian







#pempengaruh #mesej lucah #siasatan polis #Remaja perempuan