MALAYSIA

Pempengaruh hilang rupanya larikan diri selepas tenggelamkan kereta isteri, adik mengaku subahat

Yasmin Natasha 19/07/2025 | 07:10 MYT
Hasil siasatan mendapati individu dikenali sebagai Ija Nizaruddin telah menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga sebelum melarikan diri ke negara jiran.
MUAR: Seorang pempengaruh permotoran yang sebelum ini dilaporkan hilang rupa-rupanya terlibat dalam perancangan membuat laporan polis palsu bersama adiknya bagi mengaburi pihak berkuasa.


Ringkasan AI
  • Seorang pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin, didapati menenggelamkan kereta isterinya dan melarikan diri ke negara jiran sebagai sebahagian daripada laporan polis palsu.
  • Adiknya, Tengku Abd Aziz, bersubahat dengan membuat laporan palsu dan berpura-pura menjalankan usaha pencarian untuk mengelirukan pihak berkuasa.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 182 dan 109 Kanun Keseksaan, dengan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 jika disabitkan.


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil siasatan mendapati individu dikenali sebagai Ija Nizaruddin telah menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, di sini, sebelum melarikan diri ke negara jiran.

Menurut Raiz Mukhliz, laporan kehilangan yang dibuat adiknya pada 15 Julai lalu dipercayai bertujuan mengaburi pihak berkuasa.

"Mangsa, Tengku Nizaruddin sebelum itu dikatakan hilang selepas memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan ke Muar untuk membaiki kenderaan.

"Adiknya, Tengku Abd Aziz, 30, tampil membuat laporan polis di Balai Polis Lenga sehingga membawa kepada pelancaran operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam satu kenyataan.


Namun, siasatan mendapati terdapat unsur penipuan dalam laporan tersebut, dan adik mangsa mengaku bersubahat serta sengaja berpura-pura menjalankan usaha pencarian bagi mengelirukan polis.

Jelas beliau, kedua-dua individu iaitu adik dan Ija telah diambil keterangan dan siasatan lanjut akan diteruskan selepas pihak polis memperoleh kebenaran menyiasat (OTI) daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam serta Seksyen 109 kerana bersubahat melakukan kesalahan.

"Jika disabitkan, mereka boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Polis menegaskan tindakan membuat laporan palsu adalah kesalahan serius yang boleh menjejaskan sumber dan keutamaan tugasan pihak berkuasa," ujarnya lagi.









#pempengaruh permotoran #ija nizaruddin #menenggelamkan kereta isteri #operasi mencari dan menyelamat