MALAYSIA

Pempengaruh media sosial dan suami didakwa simpan hidupan liar tanpa lesen

Bernama 09/12/2025 | 13:45 MYT
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial dikenali sebagai Nina Grace dan suaminya hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menyimpan tujuh ekor hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen.


Ringkasan AI
  • Nina Grace dan suaminya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyimpan hidupan liar tanpa lesen.
  • Mereka didakwa menyimpan ular sawa, iguana, dan kura-kura dilindungi di premis di Alam Damai, Cheras.
  • Pasangan itu diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan perlu melapor diri ke pejabat Perhilitan sebulan sekali, dengan tarikh sebutan kes pada 8 Januari tahun depan.


Nur Nina Farisha Woo Abdullah dan Mohamad Zulaiman Din, masing-masing berumur 28 tahun, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa menyimpan lima ekor ular sawa, seekor iguana dan seekor kura-kura iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Alam Damai, Cheras di sini pada 4.30 petang 20 Sept lepas mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta 716 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Mas Izzaty Lokman memohon setiap OKS diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasangan itu perlu melapor diri ke pejabat Perhilitan berhampiran sebulan sekali.

Pasangan itu, yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan rendah atas alasan perlu menanggung dua anak kecil.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 8 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan kes.

-- BERNAMA



#media sosial #Perhilitan #Mahkamah Sesyen #pempengaruh