MALAYSIA

Pemuda AMANAH bantah tindakan AS di Venezuela

Astro Awani 03/01/2026 | 15:30 MYT
Pemuda AMANAH mengecam keras tindakan ketenteraan unilateral oleh Amerika Syarikat yang didakwa membawa kepada penangkapan dan pemindahan paksa Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, susulan serangan berskala besar di Caracas. - Gambar AP
KUALA LUMPUR : Pemuda AMANAH mengecam keras tindakan ketenteraan unilateral oleh Amerika Syarikat yang didakwa membawa kepada penangkapan dan pemindahan paksa Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, susulan serangan berskala besar di Caracas.


Ringkasan AI
  • Pemuda AMANAH mengecam tindakan ketenteraan unilateral Amerika Syarikat yang didakwa membawa kepada penangkapan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, disifatkan sebagai pencabulan kedaulatan negara dan pelanggaran Piagam PBB.
  • Kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Venezuela disuarakan susulan laporan letupan di Caracas, menuntut bukti keselamatan Presiden Maduro dan isterinya dikemukakan serta hak asasi mereka dihormati.
  • Kerajaan Malaysia dan Kementerian Luar Negeri menunjukkan bantahan rasmi terhadap pencerobohan di PBB, sambil Pemuda AMANAH menegaskan komitmen untuk menolak imperialisme moden demi keamanan dunia.


Dalam satu kenyataan, sayap pemuda parti itu menyatakan kebimbangan serius terhadap laporan operasi ketenteraan berkenaan yang disifatkan sebagai pencabulan nyata terhadap kedaulatan sesebuah negara berdaulat serta pelanggaran Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Sebarang pertikaian undang-undang atau tuduhan jenayah terhadap pemimpin sesebuah negara seharusnya diselesaikan melalui mekanisme mahkamah antarabangsa yang diiktiraf, bukannya melalui pencerobohan ketenteraan atau penculikan politik.

"Tindakan berkenaan bukan sahaja mengancam kestabilan rantau Amerika Latin, malah mewujudkan duluan berbahaya dalam hubungan antarabangsa apabila kekuatan ketenteraan dilihat mengatasi prinsip kedaulatan dan kedaulatan undang-undang," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, pemuda AMANAH turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Venezuela susulan laporan letupan di kawasan penempatan awam di Caracas yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk awam.

Sehubungan itu, mereka menuntut agar bukti hayat Presiden Maduro serta isterinya, Cilia Flores, dikemukakan dengan segera dan hak asasi kemanusiaan mereka dihormati selaras dengan konvensyen antarabangsa.

"Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri menyatakan bantahan rasmi terhadap pencerobohan tersebut di peringkat PBB serta menyeru masyarakat antarabangsa mendesak pengunduran segera tentera asing dari Venezuela.

"Pemuda AMANAH menegaskan komitmen mereka untuk terus mempertahankan prinsip keadilan sejagat dan menolak sebarang bentuk imperialisme moden yang boleh mengancam keamanan serta keharmonian dunia," jelas kenyataan itu.


#Amanah #Amerika Syarikat #Venezuela #Kementerian Luar