KOTA KINABALU:Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun dari Kota Belud dikhuatiri hilang dipukul ombak ketika mencari siput bersama tiga lagi rakannya.

Menurut Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Lakasamana Pertama (M) Mohd Rosli bin Abdullah, mangsa Mohd Hafizan Abdul Muara, 21, disedari hilang oleh rakan-rakannya pada jam 3 petang Rabu.

"Mangsa dikhuatiri hilang dipukul ombak di perairan Pulau Keramat, Rampaian Laut, Kota Belud dan kami menerima aduan kira-kira jam 6 petang.

"Mangsa dikatakan keluar bersama tiga orang rakannya untuk mencari siput dengan berjalan kaki berhampiran Pulau Keramat. 

"Pada peringkat awal penduduk kampung telah berusaha mencari sejurus diberitahu berkenaan kejadian tersebut yang menyedari mangsa hilang sekitar jam tiga petang. Walau bagaimanapun, mangsa tidak dijumpai sehingga semalam," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Mohd Rosli memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah diaktifkan pada jam 7.30 malam semalam (Rabu) dan disambung pada jam 7 pagi tadi dan sektor pencarian dipecahkan kepada tiga sektor dengan keluasan 29 batu nautika persegi.

Beliau turut menyarakan kepada penduduk agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca yang tidak menentu buat masa ini.

"Maritim Sabah telah menggerakan Bot Pengawal 38 ke lokasi dibantu dengan aset daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan juga memohon kepada orang ramai untuk sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa terutama dimusim hujan dan angin kencang yang berlaku sekarang.

"Keselamatan diri adalah amat penting dalam melakukan aktiviti di laut dan pemakaian jaket keselamatan amat penting semasa melakukan aktiviti di laut dan memudahkan operasi mencari dan menyelamat sekiranya berlaku sebarang bencana," katanya lagi.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia memohon kerjasama daripada orang awam untuk melaporkan kecemasan yang berlaku di sekitar perairan Kota Kinabalu ditalian Pusat OperasiMaritim Negeri Sabah 088-387774 dan talian MERS 999.