NATIONAL
Pemuda dikhuatiri lemas ketika memancing
Operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan hari ini. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Seorang pemuda berusia 27 tahun dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Kampung Kebik, Tumpat malam tadi.
Ringkasan AI
- Seorang pemuda berusia 27 tahun dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Kampung Kebik, Tumpat malam tadi. Kejadian ini dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 3.20 pagi.
- Pasukan bomba digerakkan ke lokasi pada pukul 3.33 pagi, namun menghadapi kesukaran kerana jalan yang sempit. Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan hari ini.
- Bapa mangsa, Mohd Daud Che Hussin, berharap agar operasi mencari dan menyelamat dapat menemukan anaknya, Mohd Salam, secepat mungkin. Mohd Salam keluar memancing sekitar pukul 9 malam dan kejadian ini berlaku kira-kira enam kilometer dari rumah mereka.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat Pegawai Bomba Kanan II Lizan Abu Bakar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.20 pagi.
"Pasukan operasi digerakkan ke lokasi pada 3.33 pagi. Namun, jentera bomba tidak dapat menghampiri kawasan kejadian disebabkan jalan yang sempit dan anggota terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke lokasi.
"Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, bapa mangsa Mohd Daud Che Hussin, 56, berkata anaknya, Mohd Salam, yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik, keluar memancing kira-kira pukul 9 malam.
"Sudah menjadi rutin anak saya keluar memancing di sungai berdekatan, yang terletak kira-kira enam kilometer dari rumah kami.
"Saya berharap operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak bomba dapat menemukan anak saya secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Bernama.
- BERNAMA