Pemuda dipenjara sembilan tahun atas kesalahan rogol dan liwat

Astro Awani
Julai 17, 2016 09:11 MYT
Tertuduh dari Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu didapati bersalah atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. - Gambar hiasan
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas seorang pemuda selepas didapati bersalah merogol dan meliwat seorang gadis dipercayai teman wanitanya, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Syamil Asraf Kamaruzaman, 20, dari Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu didapati bersalah atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377 B Kanun Keseksaan kerana meliwat mangsa .
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang semasa kejadian berusia 16 tahun di sebuah rumah di Kampung Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu kira kira jam 8.30 pagi, pada 21 September 2014.
Dia didakwa mengulangi perbuatan sama pada keesokan harinya iaitu 22 September 2014, kira-kira jam 12 tengah hari, di lokasi sama, dan melakukannya sekali lagi kira-kira 1.30 tengah hari iaitu hanya dalam tempoh sejam 30 minit kemudian.
Tertuduh didakwa merogol mangsa buat kali keempat pada 23 September 2014, di rumah sama kira-kira jam 10.30 pagi dan masih tidak serik apabila merogol mangsa kali kelima keesokan harinya iaitu pada 24 September 2014, kira-kira jam 1 pagi, juga di lokasi sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Bagi setiap pertuduhan, hakim Mahkamah Sesyen, Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dengan kesemua hukuman berjalan serentak.
Tertuduh turut didapati bersalah atas pertuduhan meliwat mangsa, kira-kira jam 10.30 pagi, di lokasi sama, pada 23 September 2014 dan di hukum penjara selama tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hafizah Mohd Sokran.
#kes jenayah #liwat #pemuda dipenjara #rogol