MAKKAH: Jemaah haji Malaysia yang tidak menguasai bahasa Arab pastinya sukar memahami isi khutbah yang disampaikan khatib ketika menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram di sini.

Bagaimanapun, mereka boleh mendengar secara langsung terjemahan khutbah itu dalam bahasa Melayu menerusi portal https://manaratalharamain.gov.sa yang antaranya diterjemah seorang pemuda Malaysia, Muhammad Mujahid Zaharudin.

Muhammad Mujahid, 26, dari Johor Bahru, Johor bertugas sebagai penterjemah di Masjidil Haram sejak Okt 2022 dengan menterjemah antaranya khutbah Jumaat, khutbah Hari Arafah, syarahan dan papan-papan tanda di masjid berkenaan.

Graduan Universiti Umm Al-Qura, Makkah dalam bidang Syariah itu berkata, beliau mencuba nasib memohon bekerja di Masjidil Haram meskipun mengetahui ia agak sukar kerana pihak berwajib menetapkan sekurang-kurangnya pemohon perlu berkelulusan Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang masing-masing.

"Saya hanya ada ijazah dan bagi yang mempunyai ijazah ini, kita perlukan nilai tambah sebagai sokongan seperti menghafal al-Quran dan hadis.

"Sepatutnya bila dah graduasi, saya bersiap-siap untuk pulang tetapi bila dapat tawaran ini macam durian runtuh untuk sambung duduk di Makkah dan boleh kembangkan apa yang dipelajari di universiti kerana tak seperti bidang lain, bidang agama ini tidak ada latihan industri," katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Muhammad Mujahid yang menghafal 30 juzuk al-Quran dan kira-kira 4,000 hadis berkata antara tugasan mencabar yang dihadapinya ialah menterjemah kuliah atau syarahan Ketua Imam Masjidil Haram, Sheikh Dr Abdulrahman Al-Sudais.

"Sheikh Sudais pandai berpuisi, bersajak dan menggunakan simpulan bahasa. Simpulan bahasa ini berbeza dengan bahasa Melayu contohnya, panjang tangan dalam bahasa Melayu ialah mencuri tetapi dalam bahasa Arab bermaksud orang yang suka bersedekah," katanya.

Muhammad Mujahid berkata, beliau juga banyak berbincang dengan rakan penterjemah dari Indonesia bagi mencari perkataan yang tepat untuk mengelak salah terjemahan yang boleh menjejaskan institusi masjid suci umat Islam itu. - BERNAMA