Pemuda maut kereta dipandu langgar pembahagi jalan

Dewi Nur Harasha Alias
September 1, 2019 08:52 MYT
Beginilah keadaan kereta yang dipandu mangsa, Ooi Jun Tai selepas melanggar pembahagi jalan. - Gambar ihsan pembaca
Seorang pemuda berusia 22 tahun maut selepas kereta yang dipandunya melanggar pembahagi jalan di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat Seberang Jaya pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam kejadian yang berlaku pukul 5 pagi itu, mangsa, Ooi Jun Tai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Nik Ros Azhan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 5.05 pagi.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku melibatkan sebuah kenderaan sahaja.
Semakan mendapati pemandu kereta beralamat di Jalan Raja Uda , Butterworth telah melanggar bahagian tengah pembahagi jalan di antara susur masuk ke Mak Mandin dan jalan menuju ke Kepala Batas.
Nik Ros Azhan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
#Butterworth #langgar pembahagi jalan #pemuda maut #pulau pinang #Seberang Jaya