[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Pemuda PKR, Bersatu senada gesa siasatan terhadap majlis MOTAC

Astro Awani 06/10/2025 | 04:10 MYT
Pemimpin AMK dan ARMADA sepakat kecam MOTAC atas isu majlis rasmi dan gesa siasatan serta permohonan maaf terbuka dari Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Tiong King Sing.
KUALA LUMPUR: Dua wakil sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pada Isnin senada mempersoal kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung dakwaan bahawa minuman beralkohol dihidangkan dalam majlis Kementerian baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang berasingan, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi, dan Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Malaysia, Harris Idaham Rashid menggesa siasatan dan tindakan tegas terhadap insiden tersebut.

Nabil Halimi menyifatkan, penghidangan minuman beralkohol secara terbuka dalam majlis rasmi yang melibatkan kehadiran menteri sebagai satu kegagalan memahami sensitiviti budaya dan agama masyarakat.

“Sama ada majlis tersebut dianjurkan oleh pihak swasta mahupun kerajaan, mana-mana acara yang melibatkan kehadiran rasmi Menteri, keterlibatan aktif kementerian atau agensi seperti Tourism Malaysia, tidak wajar membenarkan penghidangan minuman beralkohol secara terbuka.

“Ia mencerminkan kegagalan memahami sensitiviti budaya, agama, dan nilai masyarakat Malaysia MADANI yang berteraskan prinsip adab dan hormat,” katanya lagi, selain turut mempersoalkan sikap defensif Menteri yang enggan memohon maaf secara terbuka, sebaliknya meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

Awal hari ini, King Sing, menjelaskan, “Majlis Gala Night Dinner & Launch Ceremony Global Travel Meet 2025” melibatkan hidangan arak adalah anjuran pihak swasta.

Beliau berkata, memang pada awal Tourism Malaysia merupakan penganjur utama majlis tersebut, tetapi kemudian menyerahkannya kepada pihak swasta.

Dalam pada itu Nabil berkata, sikap defensif King Sing bukanlah contoh kepimpinan yang bertanggungjawab apatah lagi dari seorang menteri yang diberi amanah untuk mewakili kerajaan MADANI.

Justeru beliau menggesa satu siasatan dalaman dijalankan ke atas majlis tersebut demi menunjukkan komitmen dan ketegasan kerajaan dalam menegakkan nilai , adab serta tatakelola baik yang menjadi teras kepada pembinaan Malaysia MADANI.

Dalam pada itu Harris Idaham berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menunjukan ketegasan terhadap menteri dan kementerian yang berprestasi rendah.

“Sekiranya insiden terkini ini juga tidak diambil tindakan, maka naratif golongan atasan sering terkecuali daripada tindakan undang-undang akan menjadi kukuh secara automatik.

“Untuk kesalahan besar berkenaan hidangan arak, Kerajaan perlu buktikan bahawa prinsip akauntabiliti itu wujud dalam pentadbiran,” katanya lagi.

Justeru Harris Idaham berkata, ARMADA menggesa kepimpinan Kementerian termasuk Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia untuk mengaku kecuaian dan memohon maaf kepada Masyarakat, hentikan justifikasi yang makin lama makin menjadi bahan jenaka netizen.





#Nabil Halimi #Harris Idaham #hidangan arak #Tiong King Sing #majlis makan malam Tourism Malaysia