PASIR PUTEH: Seorang pemuda tidak menyangka usaha menanam ubi kayu di tanah seluas lapan hektar (20 ekar) sejak tahun lepas memberi pulangan lumayan kepadanya selepas berjaya menjual kira-kira satu tan hasil tanaman itu sehari, sejak Monsun Timur Laut (MTL) bermula minggu ini.

Mohd Hazim Zulkifli, 26, berkata, dia mengusahakan tanaman itu bersama seorang rakannya Azizan Muhammad, 36, di Kampung Kemudu Bongkok, Bachok dan menjualnya di Kampung Gaal bermula tiga hari lepas.

"Kami sepakat mengusahakan tanaman ubi kayu memandangkan tanaman ini mendapat sambutan ramai tiap kali musim tengkujuh.

"Kami tidak menyangka jualan kami laris sejak hari pertama beroperasi dengan jualan sebanyak 500 kilogram (kg) meningkat kepada 850kg pada hari kedua dan seterusnya jualan mencecah satu tan sehari," katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata, kedudukan gerai jualannya di tepi jalan utama di Kampung Gaal yang juga berdekatan sempadan Jertih, Terengganu memberi kelebihan kepadanya apabila ramai pelanggan singgah mendapatkan ubi kayu yang dijualnya pada harga RM2.50 sekilogram.

Mohd Hazim berkata, beliau mungkin mendapatkan bekalan ubi kayu daripada penanam lain jika bekalan sedia ada tidak dapat menampung permintaan pelanggan sepanjang musim tengkujuh ini.

Katanya, bagi melengkapkan menu ubi rebus, beliau turut menjual kelapa muda kepada pelanggan selain produk kerepek ubi kayu pelbagai perisa yang diusahakannya sejak tiga tahun lepas.

Memandangkan jualan yang agak laris, Muhd Hazim telah mengambil seorang pekerja selain dibantu isterinya, Nabila Abdullah, 26, yang telah berhenti kerja sebagai kerani pemasaran untuk membantu beliau menguruskan perniagaan itu.

Menurut Muhd Hazim, memandangkan jualan ubi mentah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan, dia akan meneruskan usahanya menanam tanaman itu sebaik sahaja musim tengkujuh tahun ini berakhir bagi persediaan jualan tahun hadapan.

"Bagi saya tanaman ubi kayu mempunyai potensi pasaran yang baik sama ada dijual mentah pada musim tengkujuh atau dijadikan kerepek untuk dijual sepanjang tahun," katanya. - BERNAMA