Pemuda tinggal kereta, barang peribadi sebelum terjun Jambatan Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 16, 2022 06:51 MYT
Anggota pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan Myvi yang ditinggalkan mangsa di Jambatan Pulau Pinang. - Gambar ihsan JBPM
GEORGE TOWN: Seorang lelaki bertindak meninggalkan kereta dan barangan peribadi miliknya sebelum terjun ke dalam laut dari atas Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 4.0 arah Perai hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, sebaik menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 11.42 pagi, pasukan itu bergegas ke lokasi.
"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati pemuda berusia 28 tahun itu meninggalkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih dalam keadaan enjin masih hidup di atas jambatan.
"Pemeriksaan di dalam kereta mangsa telah menemui dokumen pengenalan diri mangsa bersama geran kereta selain perkakasan rumah seperti kipas angin dan beberapa telefon bimbit," kata kenyataan tersebut hari ini.
Setakat ini, usaha mencari mangsa dijalankan oleh pasukan penyelamat bermula dari atas jambatan.
#Jambatan Pulau Pinang #terjun jambatan #pemuda #dokumen pengenalan diri