Pemuda UMNO ajak rakyat berhimpun di masjid Sabtu ini

Sinar Harian
September 13, 2023 23:00 MYT
Muhamad Akmal Saleh, Ketua Pemuda UMNO. - Foto fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Pemuda UMNO mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Islam untuk berhimpun di masjid seluruh negara pada Sabtu ini.
Ketua Pemudanya, Muhamad Akmal Saleh berkata, ia bagi majlis bacaan Yasin dan solat hajat pada jam 9 malam agar negara sentiasa diberikan rahmat Allah SWT.
“Jom kita berhimpun Sabtu ini. Bukan di depan Sogo, tetapi di masjid-masjid seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Dalam pada itu Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard menyatakan Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan pada 16 September ini di tengah bandar raya Kuala Lumpur akan diteruskan.
Beliau menjelaskan tidak ada sebarang permasalahan berhubung penganjuran itu kerana perkara itu telah mendapat pemakluman pihak polis.
Beliau yang juga aktivis politik berkata, aspek keselamatan pastinya akan diberi keutamaan oleh pihak penganjur bagi memastikan ia berlangsung dengan aman. - Sinar Harian
#Muhamad Akmal Saleh #Pemuda UMNO #solat hajat #berhimpun di masjid