Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta supaya lebih prihatin dan mendengar masalah pengguna terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

Ini kerana terdapatnya dakwaan daripada pengguna bahawa pembekal barang-barang keperluan di negara ini telah menaikan harga barangan sehingga membebankan rakyat.

Gesaan itu dibuat Pemuda UMNO negeri Kedah, yang meminta KPDNKK bertindak tegas serta mempertingkatkan pemantauan dalam kawalan kenaikan harga barangan harian.

“Pemantauan harga ini perlu kami memberi maklum balas kepada pihak-pihak yang berwajib tentang kenaikan harga yang dibuat secara melulu dan sewenang-wenangnya. Jadi kita akan menjadi pemantau harga kepada pengguna tentang kenaikan-kenaikan harga yang tidak sepatutnya dinaikan,” kata Datuk Shaiful Hazizy.

Menurut beliau, prihatin dengan permasalahan itu langkah drastik pihaknya telah menubuhkan skuad jawatankuasa khas dengan kerjasama Persatuan Pengguna Kedah bagi membantu pihak kerajaan memantau kenaikan harga barang yang memberi impak negatif kepada rakyat.

Katanya, pihaknya merasa perlu untuk mengambil berat dan memberi perhatian tentang suasana kenaikan harga barangan yang tidak terkawal.

Ini dilihat apabila "trend" meningkatkan harga barangan berlaku secara berleluasa seolah-olah tiada sebarang sekatan dan kawalan diperingkat bawahan.

Melalui perbandingan harga yang dibuat pada 2008 hingga 2013, kenaikan harga berlaku dalam lingkungan 15 hingga 20 peratus terutama pada barangan harian seperti bawang besar dan bawang kecil, marjerin serta biskut.

Difahamkan, skuad pemantauan harga akan melakukan pemantauan selama seminggu bermula Isnin depan di pasar-pasar utama serta pasaraya yang menjadi tumpuan pengguna di sekitar negeri Kedah.