Pemuisi anjur baca puisi Palestin secara maya

Bernama
Mei 17, 2021 01:30 MYT
Orang ramai boleh menghantar rakaman bacaan puisi berdurasi maksimum empat minit bertemakan 'Kemanusiaan Sejagat' ke laman Facebook PEMUISI BERKARYA. -Facebook
KUALA LUMPUR: Sokongan warganegara Malaysia terhadap rakyat Palestin yang diserang tentera Zionis Israel terus dizahirkan dengan pelbagai cara, kali ini menerusi penganjuran program baca puisi secara maya bertajuk 'Puisi Buat Palestin' mulai hari ini hingga 24 Mei.
Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) Datuk Dr Radzuan Ibrahim dalam kenyataan berkata sepanjang tempoh itu, orang ramai boleh menghantar rakaman bacaan puisi berdurasi maksimum empat minit bertemakan 'Kemanusiaan Sejagat' ke laman Facebook PEMUISI BERKARYA.
Beliau berkata logo Pemuisi dan tanda pagar #PuisiBuatPalestin #PemuisiNasional juga haruslah diletakkan sekali.
Radzuan berkata mereka yang berminat juga bagaimanapun tidak dibenarkan menggunakan sebarang gambar dan muzik yang tertakluk kepada Akta Hak Cipta.
Setiap peserta yang memenuhi syarat penyertaan akan diberikan sijil, katanya.
-- BERNAMA
#PEMUISI #program baca puisi secara maya #Palestin #Israel #Zionis #Radzuan Ibrahim #Akta Hak Cipta #PuisiBuatPalestin #PemuisiNasional