KUALA LUMPUR: Program pemulihan dan vaksinasi negara perlu menumpukan kepada sektor yang menjadi tunjang kepada ekonomi Malaysia.

Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan Perkeso, Prof. Madya Mohd Yusof Saari berkata, antaranya, sektor pembuatan dan perkhidmatan yang disifatkan sebagai pemacu sektor-sektor lain di negara ini.

"Dari segi perspektif ekonomi, kita nak menentukan sektor mana yang perlu diberi perhatian dalam aspek vaksinasi dan pemulihan ini. Kita perlu lihat kepada sektor yang menjadi tunjang kepada ekonomi Malaysia ini.

"Maksud saya adalah, kalau kita tahu sektor pembuatan dan sebahagian sektor perkhidmatan, ada sub sektornya kita katakan ia menjadi pemacu sektor lain di Malaysia ini. Jadi, tumpuan kita sepatutnya kepada sektor berkenaan. Contoh sektor makanan dan minuman, itu adalah sub sektor strategik atau sektor kunci kepada pertumbuhan ekonomi kita. Sektor lain juga adalah sektor minyak dan lemak," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu. 

Dalam pada itu, katanya, Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu juga diberi perhatian memandangkan industri itu menggaji lebih 60 peratus pekerja di Malaysia.

"Sama ada memberi sokongan dalam bentuk modal, bagi membolehkan mereka bertatih semula dan berlari semula pada bulan akan datang. Bantuan bukan sahaja subsidi upah, tetapi perkara seperti pekerja gaji, elaun dipotong juga perlu diberi perhatian juga.

"Ini supaya keterangkuman instrumen dasar kerajaan itu sampai kepada pihak yang sepatutnya supaya mereka dapat manfaat tersebut," tambahnya.