Pemungut besi buruk dihukum gantung sampai mati

Abd Razak Mohd Ali
Januari 27, 2023 04:03 MYT
Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati R Saravanan (tengah) bersalah membunuh pengawal keselamatan, K Gobi Nathan pada lapan tahun lalu. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Seorang pemungut besi buruk dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu terhadap R Saravanan, 41,
selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian pengawal keselamatan, K. Gobi Nathan, 44.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di belakang sebuah restoran di Medan Klebang Restu, Chemor, antara 12 hingga 1 tengah hari, 5 Julai 2015.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Sepanjang prosiding kes yang bermula Disember 2021, tujuh saksi pendakwaan memberi keterangan di samping lima saksi pembelaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin, manakala, tertuduh diwakili peguam T Vijayandran.
Sejurus prosiding berakhir, Saravanan yang pada mulanya kelihatan tenang dilihat menangis sambil memeluk seorang wanita dipercayai ibunya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pengawal keselamatan maut dengan kesan kecederaan parah di kepala dan kedua-dua tangan akibat ditetak oleh dua suspek bersenjatakan parang.
Mangsa dikatakan datang ke kawasan tersebut untuk membeli barangan keperluan di sebuah kedai sebelum dikejar suspek.
Mangsa yang berlumuran darah cuba melarikan diri berikutan penemuan kesan darah sejauh 80 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui.
#pemungut besi buruk #gantung sampai mati #bunuh pengawal keselamatan #Mahkamah Tinggi Ipoh