IPOH: Seramai 3,831 orang penerima program bantuan Kad Perak Prihatin telah ditamatkan dari menerima bantuan itu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed berkata, penamatan itu dilakukan Jawatankuasa Pengurusan Program Perak Sejahtera pada 28 Februari lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sejumlah 2,598 penerima telah meninggal dunia manakala 1,233 lagi ditamatkan atas pelbagai faktor lain termasuk tidak aktif dalam tempoh enam bulan selain berstatus ‘disekat’.

Katanya, jumlah itu diperolehi selepas pihaknya menjalankan proses pemutihan dan siasatan di lapangan bersama Jabatan Audit, penghulu dan pihak berkepentingan untuk mengenal pasti status pemegang kad.

“Atas inisiatif dan usaha berterusan dalam memastikan segala peruntukan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin kepada kumpulan sasar, maka kerajaan berjaya membuka ruang kepada rakyat Perak yang layak untuk terus memohon bantuan ini,” katanya ketika menjawab soalan Azizi Mohamed Ridzuwan (Pas - Lubok Merbau) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, program kad itu yang diperkenalkan sejak tahun 2019 telah dijenamakan semula tahun ini, selari dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 bertemakan Perak Makmur dan Rakyat Sejahtera.

Selain itu, katanya, melalui pembentangan Bajet 2023, kerajaan negeri juga telah bersetuju meningkatkan kadar bantuan kad makanan daripada RM80 kepada RM90 bermula Januari lalu.

Menurutnya, secara keseluruhannya, berlaku peningkatan jumlah peruntukan daripada RM22.80 juta kepada RM25.20 juta iaitu peningkatan sebanyak RM2.40 juta bagi pelaksanaan tahun ini.

Katanya, dalam memastikan peruntukan itu dikelola dengan baik, kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Program Kad Perak Sejahtera telah menambah baik prosedur kerja dan mekanisme pemilihan dengan turut melaksanakan semakan senarai penerima semasa sebanyak dua kali setahun.

Jelasnya, semakan akan dilakukan secara bersepadu bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Selain itu, tambahnya, Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (Wanita Perak) yang bertindak sebagai penyelaras, turut akan melaksanakan pengesahan terhadap data penerima.