KUALA LUMPUR: Seramai 18 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam pelbagai operasi dijalankan di sekitar ibu negara bermula Jumaat lalu hingga malam tadi.

Operasi dilakukan Unit Penguatkuasaan JSPT KL di Jalan Tun Razak, Jalan Pahang, Jalan Raja Laur, Jalan Bangsar dan Lebuhraya Duke.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Saleh, dua lelaki berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan kerana memiliki dan positif dadah di Jalan Pahang, Jumaat lalu.

"Polis merampas dadah jenis syabu seberat 1.7 gram dan kedua suspek ditahan di bawah Seksyen 12 (2)(e) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) di bawah akta yang sama.

"Dalam operasi pelbagai pula, polis telah menahan 11 lelaki yang berumur dalam lingkungan 23 tahun hingga 66 tahun di bawah Sek 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dibawah pengaruh alkohol.

"Bagi Operasi Samseng Jalanan, lima lelaki berusia 14 hingga 21 tahun ditahan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987, kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, secara keseluruhan sebanyak 571 jumlah saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 22 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.