Seorang bapa dua anak menangis teresak-esak sambil memeluk anak perempuannya di kaunter pemeriksaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan dalam satu operasi sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2019 yang diadakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Tun Ali, Melaka pada Ahad.

Pengarah JPJ Negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, lelaki yang bekerja sebagai pengayuh beca itu antara tiga lelaki yang dicekup selepas didapati positif dadah dalam sekatan jalan raya yang diadakan kira-kira empat jam itu.

Lelaki berkenaan yang menunggang motosikal bersama anak perempuan berusia tiga tahun menangis sambil merayu agar dilepaskan dengan alasan isterinya sedang berpantang dan anak keduanya kini masih berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Melaka.

30 minit selepas dia ditahan, isterinya yang berusia 19 tahun tiba di lokasi bagi mengambil anak perempuannya.

"Pada malam ini, kita menyita 13 kenderaan di mana majoritinya adalah kesalahan tiada lesen kenderaan motor (LKM) dan tiada lesen.

"Pihak AADK bersama kita malam ini menahan tiga orang positif dadah yang melibatkan dua pengayuh beca dan satu orang awam," jelas Muhammad Firdaus.

Mengulas lanjut, ketiga-tiga mereka diserahkan kepada AADK dan ditahan mengikut seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Dalam operasi yang sama, 13 motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan.