KUALA LUMPUR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan sebanyak 155 kawasan di seluruh negara yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi (KBT) penagihan dadah ditukar status menjadi kawasan berisiko rendah (KBR) menjelang 2025.

Ketua Pengarahnya, Sutekno Ahmad Belon berkata daripada jumlah tersebut, AADK berjaya menukar 77 KBT kepada KBR pada tahun lalu, dan komited untuk memastikan kawasan tersebut dapat mengekalkan status berkenaan.

Bagi 2024 pula, agensi berkenaan menyasarkan 16 kawasan untuk ditukarkan statusnya kepada KBR.

"(Selain itu) kita sasarkan menjelang tahun 2025, (sasaran bagi Kadar Penagihan Dadah) negara tidak boleh lebih 400 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

"Masih lagi banyak perkara yang perlu dibuat daripada 437 kes tahun lepas bagi setiap 100,000 penduduk, kita nak turunkan kepada bawah 400.

"Contohnya di Melaka, bagi setiap 100,000 penduduk, ada 495 orang (penagih). Ia lebih tinggi sikit daripada purata nasional," katanya pada Program Walkabout Perdana sempena Peringatan Hari Antidadah 2024 di Pantai Puteri, Melaka pada Sabtu.

Selain Melaka, Program Walkabout Perdana turut diadakan serentak di 13 lokasi Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Program berkenaan antaranya bertujuan mendekati komuniti KBT bagi menyebar luas mesej antidadah, perkhidmatan AADK dan bertanya khabar tentang isu serta permasalahan dihadapi di kawasan tersebut yang menyumbang kepada isu penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial.

Mengulas lanjut, Sutekno berkata pada tahun lalu, AADK merawat pulih seramai 65,372 klien menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).

Daripada jumlah tersebut, ujarnya, seramai 19,820 klien dinilai dan hasil penilaian mendapati seramai 14,890 klien atau 75.1 peratus mencapai tahap kepulihan.

Dalam masa sama, Sutekno berkata agensi itu telah berjaya menarik lebih 150,000 individu setakat ini, daripada sasaran penyertaan satu juta ahli Skuad AADK.