Skip to main content

Malaysia

Penahanan Mufti Besar Baitulmaqdis cabul kebebasan beragama, hina institusi keilmuan Islam

PUTRAJAYA, 2 Sept -- Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr. Hasan Bahrom menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini._BERNAMA
HASAN: Menahan seorang mufti tidak akan memadamkan cahaya kebenaran, sebaliknya hanya memperlihatkan ketakutan rejim Zionis terhadap suara yang mempertahankan hak, maruah dan kebebasan rakyat Palestin. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Tindakan rejim Zionis Israel menahan Mufti Besar Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa Sheikh Muhammad Hussein, bukan sahaja mencabul kebebasan beragama malah merupakan penghinaan terhadap institusi keilmuan Islam dan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM)  Datuk Dr Hasan Bahrom berkata YADIM, menyokong sepenuhnya ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, yang mengecam tindakan rejim Zionis Israel menahan Sheikh Muhammad Hussein.

“Mufti bukan sekadar seorang individu. Beliau ialah suara umat, penjaga ilmu dan lambang kewibawaan agama. 

“Menahan seorang mufti tidak akan memadamkan cahaya kebenaran, sebaliknya hanya memperlihatkan ketakutan rejim Zionis terhadap suara yang mempertahankan hak, maruah dan kebebasan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media melaporkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang menahan Sheikh Muhammad Hussein. sejurus selepas Solat Jumaat di masjid berkenaan pada 10 Julai.

Zulkifli dilaporkan berkata meskipun Sheikh Muhammad Hussein kemudiannya dibebaskan, tindakan terhadap seorang pemimpin agama ketika melaksanakan amanahnya di masjid suci umat Islam, merupakan suatu pencabulan terhadap kebebasan beragama serta menjejaskan kesucian Masjid Al-Aqsa.

Hasan berkata YADIM menggerakkan pelbagai inisiatif solidariti melalui program seperti Wake Up 4 Aqsa, penyertaan dalam Bulan Solidariti Dengan Palestin dan Umat Yang Tertindas, forum, wacana, kempen advokasi, serta pelbagai program pendidikan masyarakat, bagi memastikan isu Palestin terus hidup dalam kesedaran rakyat Malaysia.

“Berteraskan semangat Malaysia MADANI yang menjunjung nilai ihsan, kemanusiaan dan keadilan sejagat, serta aspirasi MADANI Membantu yang mengutamakan tindakan berbanding retorik, badan dakwah ini akan terus memperkukuh agenda solidariti untuk Palestin,” katanya.

Beliau berkata di seluruh negara, Sukarelawan YADIM, Daie Komuniti, Rakan Siswa YADIM, Rakan Belia YADIM serta ejen-ejen dakwah akan digerakkan bagi memperluas pendidikan  masyarakat mengenai isu Palestin, menyemarakkan kesedaran awam dan menggerakkan lebih banyak program kemanusiaan demi membela nasib rakyat Palestin.

“Apa yang berlaku di Al-Aqsa bukan isu yang jauh daripada kita. Solidariti ini akan terus diterjemahkan melalui program-program yang menyedarkan masyarakat dan menyuburkan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement