KUALA LUMPUR : Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD) menyatakan pendiriannya untuk terus komited menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim, disebalik keputusan penamatan khidmat Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Menurut Presidennya, Datuk Isham Ishak, penamatan perkhidmatan Mohd Shafiq sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KKPA) melibatkan proses yang telah melalui saringan dan prosedur yang ditetapkan yang mana keputusan yang diambil telah diteliti dengan teratur oleh Jabatan Peguam Negara.

"Jawatan KPPA adalah merupakan satu jawatan yang sangat penting dan kritikal kepada sistem pentadbiran kerajaan.

"Keputusan yang dibuat ini walaupun telah memberikan impak kepada PPTD, ianya telah dilaksanakan dengan penuh tertib dan berlandaskan peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kebajikan seorang penjawat awam, proses dan peraturan ini harus dihormati," jelas PPTD.

Ujar kenyataan itu lagi, selepas ini sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan adalah melalui saluran rasmi PPTD.

Selain siaran media yang dikeluarkan,komen yang dibuat adalah komen persendirian.

"PPTD serta ahli-ahlinya akan terus komited untuk menyokong Kerajaan Perpaduan yang telah dilantik bagi memastikan agenda pembangunan semula ekonomi negara dan kesinambungan sistem pentadbiran negara terus diperkukuhkan dan dimantapkan.

Tamat Perkhidmatan | PPTD hormati keputusan demi integriti perkhidmatan awam

"Semua ahli PPTD diminta untuk terus kekal professional dan menyokong penuh keputusan-keputusan yang telah diambil kerana ketetapan dan peraturan yang diambil adalah bagi menjaga kredibiliti serta integriti perkhidmatan awam," kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Mohd Shafiq sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 12 Dis 2022.

Penamatan ini adalah selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Tamat Perkhidmatan | Bekas KP Perkhidmatan Awam mahu ambil tindakan undang-undang