Seorang pensyarah undang-undang berpendapat penamatan perkhidmatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara adalah sah dari sisi Perlembagaan Persekutuan kerana jawatan itu dipegang "atas perkenan Yang Di-Pertuan Agong".

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata pandangan bahawa pemecatan hanya boleh dilakukan oleh sebuah tribunal -- sama seperti cara memecat hakim -- mungkin tidak betul dari segi undang-undang.

"Pandangan yang merujuk kepada Artikel 145(6) itu tidak terpakai kerana peruntukan itu hanya dipakai kepada Peguam Negara yang memegang jawatan sebelum pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan peruntukan tersebut," katanya.

Shamrahayu menghubungi Astro AWANI malam ini untuk membetulkan pandangan awal yang beliau berikan berhubung kesahihan penamatan perkhidmatan Abdul Gani.

Pensyarah itu dalam kenyataan awalnya berpendapat bahawa penamatan perkhidmatan Peguam Negara perlu melalui sebuah tribunal.

"Selepas saya baca dan kaji semula, frasa "Tertakluk kepada Fasal (6) itu untuk Peguam Negara yang bertugas sebelum pindaan kepada Artikel 145," jelas beliau.

Pindaan itu berkuatkuasa pada 16 September 1963.

Dua peruntukan Fasal (5) dan Fasal (6) dalam Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan yang disebut oleh Shamrahayu adalah seperti berikut:

(5) Tertakluk kepada Fasal (6), Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika dia ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(6) Orang yang memegang jawatan Peguam Negara sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Perkara ini hendaklah terus memegang jawatan itu atas terma dan syarat yang tidak kurang baiknya daripada terma dan syarat yang terpakai baginya sebaik sebelum permulaan kuat kuasa Perkara ini dan tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.


Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata kerajaan perlu menjelaskan pemecatan Abdul Gani Patail daripada jawatan Peguam Negara -- apakah dibuat secara sah mengikut Perlembagaan Persekutuan -- kerana ia mempunyai kesan besar termasuk menjejaskan kebebasan institusi kehakiman itu.