KUALA LUMPUR:Penamatan Program Subsidi Upah (PSU) pada hujung tahun lalu dijangka tidak akan menyumbang kepada peningkatan pemberhentian kerja atau kadar pengangguran,

Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan, hasil tinjauan badan itu mendapati hanya 15 peratus responden merancang untuk mengurangkan pekerja mereka.

"Sementara 29 peratus lagi bercadang meningkatkan jumlah pekerja mereka dan lebih daripada separuh atau 56 peratus cenderung untuk mengekalkan pekerja yang sedia ada.

"Tinjauan tersebut, yang dilaksanakan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS (EU-ERA), meliputi 469 syarikat yang menerima PSU," kata Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam satu kenyataan.

Tinjauan ringkas atau snap survey bermula pada 30 Oktober dan berakhir pada 22 November 2020 yang dijalankan secara dalam talian ini bertujuan menilai impak penamatan PSU ke atas pekerjaan.

PSU dirangka oleh kerajaan sebagai bantuan kewangan langsung kepada syarikat untuk mengekalkan pekerjaan semasa berlakunya pandemik COVID-19.

Program PSU 1.0 yang dilancarkan pada 1 April 2020 merangkumi bantuan kewangan selama 6 bulan dan bantuan ini dilanjutkan selama 3 bulan lagi di bawah PSU 2.0. Sehingga 31 Disember 2020.

Lebih 3.7 juta pekerja dan 428,516 majikan telah mendapat manfaat daripada kedua-dua program ini.

"Hasil daripada tinjauan ini juga menyokong pelaksanaan PSU bersasar pada tahun ini seperti yang terkandung dalam Belanjawan 2021.

"Terdapat syarikat dalam beberapa sektor yang telah menunjukkan pemulihan setelah kerajaan membuka semula aktiviti ekonomi sejak Jun 2020 dan disokong dengan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi.

"Namun begitu, masih terdapat syarikat di sektor-sektor seperti pelancongan yang masih memerlukan bantuan PSU kerana pemulihan di sektor-sektor ini dijangka akan mengambil masa yang lebih lama," katanya.

Walau bagaimanapun, hasil tinjauan ini tidak mengambil kira kesan ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang yang bermula pada 14 Oktober 2020 lalu dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula pada 13 Januari 2021.

PKPB dan PKP 2.0 dijangka memberi impak sederhana kepada pemulihan ekonomi dan seterusnya, berpotensi memberi kesan kepada pekerjaan.