MALAYSIA

Penamatan subsidi telur: Tiada kenaikan harga setakat ini

Bernama 01/08/2025 | 13:40 MYT
Harga telur ayam kekal stabil di pasaran susulan penamatan subsidi komoditi itu yang berkuat kuasa hari ini dengan pengguna menyuarakan harapan agar bekalan terus mencukupi dan berkualiti. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Harga telur ayam kekal stabil di pasaran susulan penamatan subsidi komoditi itu yang berkuat kuasa hari ini dengan pengguna menyuarakan harapan agar bekalan terus mencukupi dan berkualiti.

Tinjauan Bernama menerusi aplikasi Price Catcher oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapati harga 30 biji telur gred A, B dan C masih dijual antara RM10.40 hingga RM12.60 di pasar raya sekitar ibu negara.

Di JOHOR, pengguna menyambut baik langkah kerajaan menyusun semula mekanisme subsidi dengan harapan ia tidak menjejaskan harga secara mendadak.

"Walaupun subsidi dihentikan, saya yakin ada rasionalnya. Harapan kita, harga tidak membebankan, kualiti dikekalkan dan bekalan sentiasa mencukupi," kata Rafiah Rahmat, 58.

Sementara itu, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata pihaknya belum menerima aduan berkaitan kenaikan harga tidak munasabah setakat ini, selain pemantauan terus dipertingkatkan.

Di KELANTAN, tinjauan di beberapa kedai runcit sekitar Kota Bharu menunjukkan harga telur kekal antara RM11.50 hingga RM15.00 bagi 30 biji, bergantung kepada gred, walaupun peruncit sudah menerima makluman awal bahawa harga mungkin akan meningkat dalam masa terdekat.

"Pembekal maklumkan harga mungkin naik. Jika itu berlaku, kami tiada pilihan selain ikut harga semasa, katanya, menambah walaupun permintaan bekalan telur meningkat kebelakangan ini, setakat ini bekalan masih mencukupi.

Beliau berkata keuntungan yang diperoleh oleh peruncit sangat kecil dan sebarang perubahan harga dari pihak pembekal akan memberi kesan kepada harga jualan di peringkat runcit.

Peniaga dari Pasir Tumboh, Mohd Farid Aziz, 42, turut menjangka pelarasan harga akan berlaku dalam masa terdekat dan bersiap sedia untuk menyesuaikan jualan.

Seorang pengguna, Mohd Azrul Nasir, 46, pula berharap kerajaan lebih proaktif memastikan harga makanan asas seperti telur kekal stabil dan mampu milik.

Di KEDAH, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohd Yusrizal Yusoff menggesa pemantauan lebih tegas dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi mengelak kenaikan harga tidak munasabah.

Bagaimanapun, katanya pengguna masih dilindungi di bawah Akta Anti Pencatutan 2010 dan boleh mengemukakan aduan kepada KPDN sekiranya berlaku kenaikan harga tidak munasabah.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan subsidi telur dihentikan sepenuhnya bermula 1 Ogos, selepas pengurangan kadar subsidi daripada 10 sen kepada lima sen sebiji yang bermula pada 1 Mei lalu.

Penstrukturan semula itu bertujuan memastikan bantuan disasarkan kepada golongan benar-benar memerlukan.

-- BERNAMA


#harga telur ayam #tiada kenaikan harga #penamatan subsidi #kpdn