MALAYSIA

Penambahbaikan perkhidmatan pemindahan organ agenda kebangsaan pada 2026 - Dzulkefly

Bernama 29/12/2025 | 23:25 MYT
Dr Dzulkefly berkata pihaknya sedang mempertingkatkan Pusat Sumber Transplan Nasional yang dinamakan semula sebagai NTC, secara langsung di bawah bidang kuasa Bahagian Perkembangan Perubatan, ibu pejabat Kementerian Kesihatan. - Foto X Dr Dzul
KUALA LUMPUR: Pemindahan organ akan dirangka semula sebagai agenda kebangsaan selaras usaha Kementerian Kesihatan menstruktur semula Pusat Transplan Nasional (NTC) sebagai badan pusat untuk memacu dasar, pentadbiran dan penyelarasan seluruh negara.


Ringkasan AI
  • Pemindahan organ akan dijadikan agenda kebangsaan dengan restrukturisasi Pusat Transplan Nasional sebagai badan pusat untuk memacu dasar dan penyelarasan ke seluruh negara.
  • Malaysia menghadapi cabaran mempertingkatkan aktiviti pemindahan organ walaupun mempunyai kepakaran klinikal yang kukuh, infrastruktur awam-swasta yang baik, dan peningkatan beban kegagalan organ tahap akhir.
  • Kementerian Kesihatan sedang melakukan langkah segera untuk mengoptimumkan sumber sedia ada menerusi kerjasama strategik awam-swasta, pembentukan Majlis Pemindahan Organ Kebangsaan, serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap derma organ.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata aktiviti pemindahan organ di Malaysia masih rendah berbanding keperluan negara meskipun mempunyai kepakaran klinikal yang kukuh, infrastruktur awam-swasta, selain beban kegagalan organ tahap akhir yang semakin meningkat susulan penyakit tidak berjangkit serta jurang sistemik dalam pencegahan dan penjagaan awal.

"Dalam dua tahun terakhir ini, kami telah membina semula enjin kepada Perkhidmatan Pemindahan Organ Nasional, asas penting ialah pemerkasaan struktur NTC yang sebelum ini beroperasi di bawah Hospital Kuala Lumpur.

"Kami sedang mempertingkatkan Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) kini dinamakan semula sebagai NTC, secara langsung di bawah bidang kuasa Bahagian Perkembangan Perubatan, ibu pejabat Kementerian Kesihatan.

"Perubahan daripada sebuah unit hospital kepada sebuah pusat penyelarasan nasional - memberinya mandat untuk memacu dasar di seluruh negara," katanya dalam hantaran di X malam tadi.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Dzulkefly berkata kementerian bersedia berdepan cabaran seperti tempoh latihan yang panjang untuk menghasilkan pakar pemindahan organ selain langkah-langkah segera sedang diambil untuk mengoptimumkan sumber sedia ada menerusi kerjasama strategik awam-swasta dan hospital universiti.

Menurutnya antara inisiatif utama yang digariskan ialah asas untuk menubuhkan Majlis Pemindahan Organ Kebangsaan, yang akan berfungsi sebagai punca kuasa untuk pengurusan data dan sumber.

Beliau berkata kementerian juga sedang menjalin perkongsian awam-swasta dengan melibatkan pakar daripada hospital swasta dan universiti untuk membentuk pasukan perolehan kebangsaan.

Mengenai pembaharuan dasar dan kawal selia, Dzulkefly berkata semakan semula Dasar Pemindahan Organ, Tisu dan Sel Kebangsaan 2007 berada pada peringkat akhir untuk diseragamkan dengan piawaian global, manakala semakan semula Akta Tisu Manusia 1974 turut sedang dijalankan bagi melindungi penderma hidup dan menyelaraskan proses dengan lebih baik.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa reformasi struktur sahaja tidak lengkap tanpa perubahan penerimaan orang ramai terhadap derma organ.

"Lebih 400,000 rakyat Malaysia telah mendaftar sebagai penderma organ, namun lebih 10,000 pesakit kekal dalam senarai menunggu pemindahan. Banyak lagi yang perlu dilakukan," katanya.

Bagi meningkatkan kebolehcapaian, beliau berkata proses ikrar penderma kini lebih mudah menerusi aplikasi MySejahtera, yang merekodkan lebih 16,000 pendaftaran baharu setakat Julai 2025.

-- BERNAMA



#pemindahan organ #Dzulkefly Ahmad #Pusat Transplan Nasional #penyakit tidak berjangkit