KOTA KINABALU: Penampang menjadi daerah ke-20 yang disyitiharkan kawasan penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF) di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan berkata virus itu mula dikesan pada 14 Disember lalu, dan telah merebak ke lima buah kampung di Inobong, Sugud dan Koidupan.

"Kes-kes melibatkan sejumlah 229 khinzir yang diternak penduduk kampung, daripada enam pemilik yang berbeza. Kerugian dianggarkan membabitkan nilai RM115,000," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata, Penampang mempunyai dua ladang ternakan khinzir komersial dengan anggaran sebanyak 2,900 ekor khinzir.

Bagi mengelakkan virus ini tersebar ke daerah berhampiran, Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) akan menjalankan kempen kesedaran di daerah Penampang untuk memastikan rakyat mempunyai maklumat mengenai ASF.

"Jabatan ini juga akan memantau dan mengawal pergerakan dan produk khinzir untuk memastikan tidak ada yang keluar dari daerah itu, buat sementara waktu," katanya lagi.

Sejak ia pertama kali diisytiharkan pada tahun lepas, sepuluh daerah telah diisytiharkan bebas wabak ASF selepas 60 hari sejak kes terakhir dilaporkan.

Daerah-daerah ini antaranya ialah Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Telupid, Tongod, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

Tambah Jeffrey, kerajaan mengambil maklum kebimbangan rakyat, khususnya dengan sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau optimis bahawa bekalan daging khinzir di Sabah akan mencukupi untuk memenuhi permintaan.