PUTRAJAYA: Di tengah-tengah acara perbarisan Hari Kebangsaan ke-69, penyertaan julung-julung kali kontinjen Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) menjadi detik bersejarah yang menyuntik rasa bangga dalam kalangan warga pasukan keselamatan tertua di negara ini, sekali gus membawa legasi sejarahnya ke pentas kebangsaan.
Platun Komander Kontinjen JMF Leftenan Muhamad Nur Helmi Mohamed Amin berkata penglibatan pasukan berkenaan memberikan peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk melihat dari dekat keunikan serta kewujudan pasukan askar negeri Johor itu.
"Kami berasa amat berbangga kerana dapat membawa nama JMF pada peringkat kebangsaan … Askar Timbalan Setia Negeri Johor kebiasaannya berada di Johor sahaja, kali ini semua orang dapat melihat Askar JMF.
"Dalam masa yang sama, kami dapat mempamerkan bahawasanya Askar JMF masih relevan dan dapat berkhidmat di bawah naungan Institusi Diraja Johor," katanya kepada Bernama.
Peranan JMF turut diketengahkan menerusi variasi pakaian seragam rasmi yang diperagakan kontinjen itu sepanjang perarakan, melambangkan identiti serta tradisi pasukan berkenaan.
"Untuk perbarisan pada tahun ini, yang kami cuba tampilkan ialah fungsi JMF itu sendiri, anda semua dapat lihat semasa perarakan ini, kami cuba tonjolkan dari segi pakaian penugasan semasa berada di istana, pakaian semasa bertugas melakukan operasi di bandar, dan pakaian untuk melakukan operasi di hutan.
“Tidak lupa juga pakaian istiadat yang memang menjadi pakaian kebanggaan bagi JMF," katanya.
Mengulas tentang kekuatan keanggotaan dan aset yang dibawa bagi menyemarakkan sambutan tahun ini, Muhammad Nur Helmi berkata kontinjen tersebut melibatkan 102 pegawai dan anggota.
"Bagi perarakan kali ini, penglibatan adalah sebanyak empat pegawai dan 98 anggota lain-lain pangkat. Kontinjen ini terdiri daripada perbarisan pancaragam, kontinjen kawad serta anggota yang membawa aset pertahanan," katanya.
Beliau berkata JMF turut membawakan beberapa jenis aset ketenteraan untuk dipamerkan kepada orang ramai, antaranya empat motosikal, dua unit kenderaan serba rupa bumi (ATV), tiga kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, serta dua unit kenderaan perisai taktikal jenis Ribat buatan tempatan keluaran MILDEF.
Muhammad Nur Helmi berkata pihak pasukan telah melakukan persiapan rapi pada peringkat dalaman selama kira-kira sebulan sebelum berlepas ke tapak acara.
Setibanya kontinjen di lokasi, latihan intensif terus dipergiat pada sebelah petang, manakala sesi raptai dijalankan pada sebelah pagi.
Mengulas tentang cabaran yang dihadapi, beliau berkata fokus utama tertumpu pada aspek kawad kaki dan koordinasi logistik dan sesi latihan kawad dijalankan secara berulang kali bagi menyelaraskan setiap pergerakan agar kelihatan lebih kemas, teratur dan segak.
Dari sudut logistik pula, perhubungan dan komunikasi berterusan dilakukan bersama dengan pihak berkaitan di Putrajaya bagi memastikan penyelarasan pergerakan kontinjen berjalan dengan lancar.
Pasukan JMF ditubuhkan pada 1885 di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar sebelum nama Johore Military Forces (JMF) rasmi digunakan pada 1904.
Hari ini, JMF berperanan sebagai pasukan istiadat Negeri Johor selain menyediakan khidmat sokongan dalam pengurusan istana, aktiviti diraja serta aspek keselamatan negeri.
-- BERNAMA