MALAYSIA
Pencalonan Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia cetus kontroversi, bantahan

Trump menyifatkan Adams sebagai nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat berjaya, sambil memuji komitmennya terhadap apa yang digelarnya sebagai 'Nilai Keunggulan Amerika'. - Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Donald Trump mencalonkan pengulas politik konservatif yang juga penulis, Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang baharu mencetuskan bantahan pelbagai pihak di negara ini.
Ringkasan AI
- Pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia oleh Presiden Donald Trump mencetuskan bantahan pelbagai pihak di Malaysia, termasuk AMK dan NGO pro-Palestin, kerana latar belakangnya yang konservatif ekstrem dan kenyataan kontroversi terhadap Islam serta Palestin.
- AMK merancang mengadakan demonstrasi dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan AS, manakala kerajaan Malaysia melalui Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa pencalonan itu belum dibawa ke perhatian Jemaah Menteri.
- Penganalisis memberi amaran bahawa menerima atau menolak pencalonan Adams membawa risiko politik dan diplomatik, termasuk kemungkinan tekanan perdagangan dari AS, namun bekas Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan Malaysia perlu berpegang pada prinsip keadilan dan toleransi.
Dia juga terkenal dengan karakter lantang di media sosial dan diminati oleh golongan lelaki muda dalam "manosphere", ruang dalam talian yang membincangkan isu lelaki.
Adams dikenali kerana kenyataan yang bersifat provokatif, seperti menggelar dirinya sebagai "lelaki alfa", dan memanggil Taylor Swift sebagai "woke Jezebel" di media sosial
Dalam masa sama, beliau menyenaraikan minat terhadap hot dog, stik dan rangkaian restoran Hooters, yang terkenal dengan pakaian pelayan yang mencolok mata.
Terima bantahan ramai pihak
Susulan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) antara yang lantang menyuarakan bantahan di Malaysia.
Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin dalam satu kenyataan menjelaskan latar belakang Adams yang didakwa condong kepada ideologi politik ekstrem kanan serta retorik yang bersifat memecahbelahkan bercanggah dengan prinsip kemajmukan, toleransi dan solidariti yang menjadi asas perpaduan rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, AMK memaklumkan bahawa pihaknya akan menghantar satu memorandum rasmi kepada Kedutaan AS sebagai bantahan terhadap pencalonan Adams selain mendesak agar calon lebih berwibawa, bersifat sederhana dan menghormati nilai keadilan sejagat dilantik demi kepentingan bersama.
Sehubungan itu, AMK merancang untuk mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan AS pada Jumaat bagi membantah pencalonan Adams.
Timbalan Ketua AMK Izuan Kasim pula berkata, perhimpunan itu akan dianjurkan bersama pemimpin dari parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pihaknya juga akan menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan Jumaat ini.
Dalam masa sama, Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, berkata pelantikan itu disifatkan sebagai "penghinaan terbuka terhadap sensitiviti rakyat Malaysia," manakala sebuah kumpulan yang mewakili 20 organisasi pro-Palestin di Malaysia menggesa kerajaan menolak Adams.
Sementara itu, Jurucakap Kerajaan MADANI merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Kabinet Malaysia masih belum menerima sebarang memorandum rasmi daripada Wisma Putra berhubung pencalonan Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.
Fahmi berkata lazimnya Jemaah Menteri akan menerima memorandum daripada Wisma Putra mengenai pelantikan mana-mana duta atau wakil asing yang baharu.
“Setakat ini, perkara tersebut belum dibawa ke perhatian Jemaah Menteri. Mungkin selepas kita menerima maklum balas terkini, barulah ia akan dibincangkan. Tetapi buat masa ini, ia belum sampai ke Kabinet,” katanya.
Shahriman Lockman dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia berpendapat bantahan daripada komuniti penduduk Islam dan sekutu blok pemerintah mungkin terlalu berisiko secara politik untuk diabaikan oleh kerajaan, walaupun Adams mungkin mempunyai manfaat dalam rundingan perdagangan kerana hubungan rapat beliau dengan Trump.
Tambah beliau, menolak Adams juga boleh mencetuskan tindakan balas daripada Trump terhadap Malaysia yang boleh berdepan tekanan untuk membuat konsesi perdagangan sebagai pertukaran untuk pengurangan tarif AS yang ketika ini dikenakan sebanyak 25%.
“Tiada penyelesaian yang elegan di sini. Serba salah jika terima, serba salah jika tolak,” kata Shahriman.
Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, pula berkata Malaysia harus tetap teguh dalam mempertahankan nilai-nilainya walaupun Adams mempunyai hubungan rapat dengan Trump.
"Ya, memang baik jika kita ada duta AS yang rapat dengan Trump... tetapi kita tidak boleh berkompromi dalam prinsip tertentu," katanya.
Adams hargai pujian Trump
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat berjaya, sambil memuji komitmennya terhadap apa yang digelarnya sebagai 'Nilai Keunggulan Amerika'.
Dalam satu hantaran di X pada 10 Julai, beliau mengucapkan terima kasih kepada Trump atas pencalonan itu serta menyifatkan ia sebagai "penghormatan seumur hidup".
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami