KUALA LUMPUR: Prestasi keseluruhan 100 hari Ahli Jemaah Menteri berjaya mencapai 90 peratus daripada sasaran ditetapkan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebanyak 140 sasaran telah ditetapkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 hari itu.

"Pada 24 September 2021 yang lalu, saya telah memuktamadkan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari yang diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras Kementerian (50%), Penilaian Prestasi Menteri (25%) dan Persepsi Awam (25%) terhadap Menteri dan Kementerian.

"Sebanyak 140 sasaran telah ditetapkan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari tersebut, yang melibatkan 31 Yang Berhormat Menteri daripada lima Kluster, iaitu Kluster Menteri Kanan, Ekonomi, Sosial, Keselamatan dan Infrastruktur," jelasnya.

"Prestasi keseluruhan 100 Hari Jemaah Menteri belum menepati sasaran 100% seperti yang dihasratkan. Namun pada ketika ini, Ahli Jemaah Menteri telah mencapai sekitar 90 peratus," jelasnya.

Bagaimanapun jelas Perdana Menteri, sesetengah prestasi tidak dapat dinilai daripada kaji selidik semata-mata.

SEMUANYA MENGENAI PRESTASI 100 HARI JEMAAH MENTERI, KLIK DI SINI

Namun ujarnya, peratusan yang dicapai bukan alasan untuk seluruh pimpinan kerajaan mendabik dada.

Sebaliknya menyuntik kesungguhan dan iltizam buat Jemaah Menteri untuk terus bekerja bersama rakyat.

"Sasaran penuh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam, menggembleng tenaga dan  memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan kepada Keluarga Malaysia, dengan mengetepikan segala kerenah birokrasi yang rumit.

"Bak kata orang Iban, "entik begempung kitai sepanjung, entik pamar kitai dekat ngepar"" - Jika bersatu, suara kita akan lebih didengar, jika berpecah usaha kita sia - sia," jelasnya ketika melancarkan 100 Hari Aspirasi #Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Khamis.

Hadir sama dalam majlis itu, Menteri-Menteri Kanan dan barisan Jemaah Menteri serta kepimpinan tertinggi kementerian dan agensi kerajaan.