Skip to main content

Malaysia

Pencapaian GovTech, status rakyat Malaysia di Nepal dan ketepatan bacaan IPU rasmi fokus Dewan Rakyat hari ini

Sidang Dewan Rakyat hari ini dijangka membincangkan antara lain, pencapaian GovTech Malaysia, status rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan banjir kilat di Nepal dan ketepatan bacaan IPU rasmi Malaysia. - Foto Parlimen Malaysia.
Sidang Dewan Rakyat hari ini dijangka membincangkan antara lain, pencapaian GovTech Malaysia, status rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan banjir kilat di Nepal dan ketepatan bacaan IPU rasmi Malaysia. - Foto Parlimen Malaysia.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pencapaian GovTech Malaysia, status rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan banjir kilat di Nepal dan ketepatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) rasmi Malaysia antara fokus utama dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Young Syefura Othman (PH-Bentong) meminta Menteri Digital menyatakan pencapaian GovTech Malaysia dalam agenda transformasi digital negara setakat ini.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai kejayaan kerjasama strategik dengan kementerian lain dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan sektor perniagaan, serta perancangan strategik GovTech bagi memperkukuh ekosistem kerajaan digital.

Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) pula meminta Menteri Luar menyatakan status terkini rakyat Malaysia yang masih tidak dapat dihubungi susulan banjir kilat yang melanda daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lepas.

Pada sesi sama, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan langkah kerajaan untuk memastikan bacaan IPU rasmi Malaysia kekal tepat, telus dan diyakini masyarakat serta meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang menambah baik kaedah penyampaian maklumat kualiti udara supaya lebih mudah difahami dan responsif terhadap perubahan keadaan jerebu semasa.

Sementara itu, pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pula, Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah pemilik pikap dan jip di Sabah yang menerima tambahan 100 liter di bawah inisiatif  BUDI Diesel, selain langkah membantu pemilik kenderaan berkenaan yang menggunakannya untuk perniagaan kecil, pertanian dan perjalanan ke kawasan pedalaman. 

Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) pula meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan jumlah kes, nilai ketirisan, rampasan dan tangkapan menerusi Ops Tiris Bersepadu khususnya di kawasan sempadan.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai punca kelemahan kawalan yang membolehkan penyeludupan berulang, serta tindakan bagi menutup ruang ketirisan, memperketat kawalan sempadan dan melumpuhkan rangkaian sindiket.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) meminta Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan jumlah wanita berumur 25 hingga 59 tahun yang berada di luar tenaga buruh kerana tanggungjawab menjaga anak, warga emas atau keluarga serta penjelasan mengenai nilai ekonomi unpaid care work kepada negara dan bilakah ekosistem care economy nasional akan diwujudkan. 

Persidangan kemudian akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, pada 9 Okt lepas.

Berdasarkan takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15, perbahasan Belanjawan 2027 pada peringkat dasar berlangsung dari 12 hingga 22 Okt sebelum sesi penggulungan oleh menteri berkaitan selama empat hari bermula 26 Okt ini.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis ini.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement