Misteri kehilangan seorang pencari ketam di Kampung Sampadi, di sini terjawab apabila mayatnya ditemui, dengan sebahagian anggota badannya hilang.

Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii mangsa, Fairus Latip, 37, dilaporkan hilang setelah keluar membubu ketam di sebatang anak sungai di Chupin, di sini sekitar pukul 11.30 pagi Jumaat.

"Setelah gagal pulang sehingga pukul 11 malam Jumaat, isteri mangsa yang khuatir cuba menghubungi telefon bimbit mangsa namun tidak berjawab.

"Bomba kemudian dihubungi melalui talian kecemasan Mers 999 dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu diarahkan ke lokasi untuk mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat.

"Pencarian awal kemudian mengesyaki mangsa hilang di Sungai Daun setelah pasukan operasi menemui alat menangkap ketam milik mangsa," kata Ling Hii.

Bagaimanapun, Ling Hii berkata, sekitar pukul 7 pagi tadi, pihaknya dimaklumkan bahawa mangsa telah ditemui penduduk kampung di kawasan Sungai Ulu Lobak, kira-kira 30 minit perjalanan melalui sungai dari Kampung Sampadi.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan sadis hanya tinggal kepala dan sebahagian badan serta kaki kiri yang disyaki dibaham buaya," jelas Ling Hii lagi.

Mayat mangsa, katanya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Ini merupakan kejadian kedua di kawasan Sampadi selepas seorang lelaki Indonesia maut diserang buaya di Sungai Stoh, Rambungan pada Ogos tahun lalu.

Sampadi terletak di antara pertengahan laluan Kuching - Lundu.