MALAYSIA

Pencarian MH370 akan disambung semula pada 30 Dis ini

Bernama 03/12/2025 | 04:05 MYT
Operasi pencarian akan memfokus kepada kawasan sasaran yang dinilai mempunyai kebarangkalian tertinggi bagi mengesan pesawat MH370 itu. - Gambar hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Pencarian di kawasan laut dalam bagi pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 akan disambung semula pada 30 Dis ini, menurut Kementerian Pengangkutan.

Kenyataan kementerian itu hari ini memaklumkan Ocean Infinity telah mengesahkan kepada Kerajaan Malaysia bahawa ia akan menyambung semula operasi pencarian dasar laut selama 55 hari, yang akan dilaksanakan secara berselang-seli.

"Operasi pencarian akan memfokus kepada kawasan sasaran yang dinilai mempunyai kebarangkalian tertinggi bagi mengesan pesawat itu, selaras dengan perjanjian perkhidmatan yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Ocean Infinity pada 25 Mac 2025," menurut kenyataan itu.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa perkembangan terkini itu menegaskan komitmen Kerajaan Malaysia untuk memberikan penutupan kepada keluarga yang terkesan akibat tragedi tersebut.

Pesawat itu, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Meskipun operasi pencarian, iaitu antara yang terbesar dalam sejarah penerbangan, telah dilakukan secara bersama oleh Malaysia, Australia dan China, pesawat itu gagal dikesan dalam zon pencarian utama di selatan Lautan Hindi.

Sejak itu, beberapa serpihan pesawat yang disahkan atau dipercayai berasal daripada MH370 telah ditemukan di sepanjang pantai di barat Lautan Hindi termasuk Mozambique, Madagascar dan Pulau Reunion.

-- BERNAMA



#MH370 #pencarian disambung semula #OCEAN INFINITY #Malaysia Airlines