KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan henti tugas loji rawatan air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) berikutan pencemaran bau diesel yang telah dikesan di sungai berkenaan.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang bekerjasama dengan Air Selangor bagi mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan henti tugas LRA Sg Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima (5) wilayah air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air alternatif kepada para pengguna yang terlibat.