Pencemaran LRA Sg Semenyih: Kesemua kawasan terjejas terima bekalan air sepenuhnya

Astro Awani
September 1, 2021 23:39 MYT
Para pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kesemua 463 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 6 pagi tadi.
Ia susulan henti tugas Loji Rawatan Air Sg Semenyih berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih beberapa hari lepas.
Air Selangor dalam satu kenyataan mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
Para pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor.
Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.
#pencemaran #Sungai Semenyih #bekalan air #Air Selangor