SEMENYIH: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menyiasat sebuah kilang minyak sawit yang disyaki menjadi punca pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada Khamis.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri Selangor, Hee Loy Sian, siasatan awal mendapati bau solven telah dikesan di longkang berhampiran kilang terbabit.

"Pada pukul 10.15 pagi, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas kerana berlaku pencemaran di Sungai Semenyih sehingga jam 12.45 tengahari.

"Bekalan air disambung semula pada jam 1.45 petang, iaitu gangguan selama 2 jam 30 minit. Bagaimanapun, kali ini pencemaran tidak masuk ke muka sauk dan kerana gangguan tidak melebihi empat jam, ia tidak memberi impak bekalan air yang putus kepada pengguna," jelas Hoy Sian ketika ditemui dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan di kilang berkenaan di Semenyih pada Khamis.

Ujarnya, bacaan 1 ton direkodkan pada pagi tadi, malah beberapa kawasan pula mencatatkan bacaan sehingga 4 ton.

Bagaimanapun tindakan pantas LUAS, Air Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu berjaya menyahbau berkenaan sehingga 0 ton dalam tempoh yang singkat.

Siasatan lanjut yang dijalankan juga berjaya mengesan sebuah kilang pemprosesan minyak kelapa sawit berhampiran dipercayai punca pencemaran itu berlaku.

"Kali ini kita dapati bau solven di luar premis ini (kilang minyak kelapa sawit) dan dalam itu (longkang) seakan sama.

"Kita akan bawa sampel ke Jabatan Kimia untuk kita buat sampling untuk pastikan sama ada mempunyai bahan pencemar yang sama.

"Buat masa ini puncanya dari sini, kemungkinan boleh dikatakan selepas hujan lebat air melimpah dari kawasan takungan sedia ada dan masuk ke longkang kemudian ke sungai," katanya lagi.

Mengulas lanjut ujar Hoy Sian, beliau percaya kejadian itu bukan kali pertama berlaku melibatkan kilang berkenaan.

Malah beberapa tahun lalu, pihak berkuasa dapat mengesan kawasan menjadi punca pencemaran di berhampiran kilang berkenaan, namun tidak dapat mengaitkannya sebagai punca.

"Berulang-ulang, sebelum itu kita nampak pencemaran itu berlaku di luar longkang berdekatan premis itu.

"Sebelum itu kita cari punca tak dapat dikaitkan, kemungkinan kawasan longkang itu ada kebocoran atau keretakan struktur di bawah tanah.

"Jadi air itu melimpah melalui longkang itu keluar ke sungai. Ini punca utama pencemaran berlaku sebelum itu yang kita tak dapat kesan," katanya.

Dalam pada itu, ujar Hoy Sian, pihaknya tidak menolak untuk memindahkan kilang berkenaan di kawasan lain bagi mengelakkan daripada perkara sama berulang.

"Ada yang mencadangkan memindahkan kilang ini di tempat lain ini satu penyelesaian jangka panjang.

"Kita tidak menafikan akan buat sesuatu, kerana kilang ini memberikan satu tamparan yang hebat dan kesan amat teruk kepada pencemaran di Sungai Semenyih," katanya lagi.

Hoy Sian turut memaklumkan satu laporan polis akan dibuat pihak LUAS berhubung perkara itu agar siasatan dapat dijalankan.

"Pihak LUAS akan buat laporan polis dan kita harap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat masuk dan siasat serta pihak LUAS juga akan buat siasatan.

"Kita tengok di bawah perundangan, kita gunakan Enakmen LUAS 71, kalau sabit kesalahan denda minimum RM200,000 sehingga RM1 juta dan penjara tidak kurang 3 tahun," ujar Loy Sian.