MALAYSIA

Pencemaran Sungai Air Batu: Melaka jamin siasatan menyeluruh

Bernama 10/07/2025 | 02:05 MYT
Bertindak balas terhadap kebimbangan penduduk yang mengaitkan pencemaran Sungai Air Batu dengan Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang, JAS Melaka turut menjalankan siasatan di lokasi berkenaan. - Foto Facebook Jabatan Alam Sekitar
MELAKA: Kerajaan Melaka memberi jaminan akan melaksanakan siasatan menyeluruh berhubung insiden pencemaran Sungai Air Batu berhampiran Kampung Paya Rumput, Sungai Udang di sini.

Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Ketua Menteri Melaka dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka telah diarahkan menjalankan siasatan serta-merta sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu pada Selasa (8 Julai) lepas.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat perubahan ketara pada warna air sungai yang bertukar menjadi hitam, dipercayai berpunca daripada pelepasan efluen oleh sumber yang masih dalam siasatan.

"Sebagai respons terhadap kebimbangan penduduk setempat yang mengaitkan kejadian ini dengan Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang, siasatan turut dijalankan di lokasi berkenaan.

"Setakat ini, tiada pelepasan air larut resapan (leachate) dikesan semasa pemeriksaan dilakukan," menurut kenyataan itu.

JAS Melaka akan terus menjalankan pemantauan serta pensampelan secara berkala bagi mengesan sebarang pelepasan, selain memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Standard Kualiti Alam Sekitar.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa tapak pelupusan terbabit berada di bawah pemantauan berkala JAS, dan beberapa tindakan penguatkuasaan pernah diambil terhadap pengendali tapak berkenaan sebelum ini.

"Kerajaan Negeri memberi jaminan penuh bahawa siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang alam sekitar.

"Kerajaan Melaka komited memastikan aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


#Sungai Air Batu #pencemaran #tapak pelupusan sampah #JAS Melaka