SEREMBAN:Kerajaan Negeri Sembilan sedang menunggu laporan terperinci daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, berhubung pencemaran sungai di Batang Benar, Nilai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata, selain itu, pihaknya turut menunggu laporan terperinci daripada Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri.

"Mengikut siasatan setakat malam tadi, Pengarah JAS negeri Azuri Azizah Saedon memaklumkan, punca masih belum diketahui dan setakat ini, ia adalah berdasarkan andaian.

"Pertama, pencemaran berkemungkinan dari ladang itik di Kuala Sungai Pajam, iaitu bersempadan dengan Negeri Sembilan dan Selangor, leachate (bahan larut leasp) dari tapak pelupusan Pajam dan seterusnya dari kawasan industri Nilai 2, iaitu mungkin dari kilang memproses telur ayam," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata punca sebenar pencemaran masih dalam siasatan dan pihak berkepentingan telah berada dilokasi di Batang Benar untuk melihat dan akan mengadakan perbincangan tindakan susulan.

Semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran operasi dua Loji Rawatan Air (LRA) dihentikan akibat insiden pencemaran di LRA itu.

Dua LRA terlibat ialah LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari semalam dipetik sebagai berkata punca pencemaran dikesan di Sungai Batang Benar, iaitu sejauh 30 kilometer daripada LRA Sungai Semenyih.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Veerapan berkata pihaknya turut dimaklumkan mengenai terdapat kejadian tumpahan minyak berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Gelam, Port Dickson, semalam.

"Kawalan telah dibuat oleh pelbagai pihak seperti bomba dan JAS yang bertindak menyekat di longkang untuk mengelakkan ia dari mengalir memasuki laut.

"Saya sedang menunggu laporan kejadian ini dan perkembangan lanjut akan saya maklumkan kemudian," katanya.

-- BERNAMA