Pencemaran Sungai Johor ambil masa untuk pulih, nelayan harap musim hujan jadi penyelamat

Seorang nelayan memeriksa bot miliknya ketika Sungai Sayong di Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi, masih berlumpur susulan pencemaran yang memasuki hari kedua, Ahad lalu. --fotoBERNAMA
KOTA TINGGI: Kesan pencemaran Sungai Johor yang menjejaskan mata pencarian nelayan terutama komuniti Orang Asli, dijangka mengambil masa yang lama untuk dipulihkan.
Seorang nelayan Kampung Orang Asli Sayong Pinang Azman Inam, 48, berkata komuniti nelayan ketika ini, hanya mengharapkan musim hujan menjadi penyelamat mereka.
"Rasanya paling lama dalam enam bulan (sungai) ini akan pulih, sebab musim banjir pun sudah dekat.
"Kami harap ia dapat dipulihkan secepatnya dan ikan balik (ke perairan), sebab sekarang ikan sudah mula bertelur. Ini yang dikesalkan, sebab ini sumber pendapatan kami," katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini semalam.
Azman berkata komuniti nelayan gusar akan nasib mereka yang hilang pendapatan, sekali gus berharap agar pihak kerajaan dapat menyalurkan bantuan sewajarnya.
"Saya harap kerajaan juga lebih tegas dan proaktif dengan membuat pemantauan lebih kerap di lokasi pencemaran," katanya.
Tok Batin Kampung Orang Asli Sayong Pinang Majid Jantan, 63, berkata komuniti nelayan terpaksa menangkap ikan di kawasan yang lebih jauh, selain mencari pendapatan sampingan dengan menoreh getah.
"Kita lihat hujan lebat pun tidak membantu sangat, makin sepi sungai kita, kalau mencari ikan pun terpaksa di perairan sama tetapi kawasannya lebih jauh," katanya yang juga seorang nelayan.
Justeru beliau berharap agar nasib nelayan yang menjana pendapatan sekitar RM60 hingga RM100 sehari itu, mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya.
Kejadian pencemaran itu menjejaskan mata pencarian lebih 150 nelayan termasuk komuniti Orang Asli di sepanjang hulu Sungai Johor.
Secara keseluruhan 455,757 pemegang akaun atau hampir 1.8 penduduk di Johor, terjejas secara berperingkat akibat pencemaran yang berlaku pada Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dipetik berkata pencemaran itu berlaku ekoran sebuah kolam cucian pasir, pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat, di sini.
Beliau berkata kejadian itu berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan kolam cucian pasir keenam milik sebuah syarikat tempatan itu pecah, lalu mencemari aliran Sungai Johor.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


