Pencemaran Sungai Johor: JAKOA bantu nelayan Orang Asli mohon pampasan

Manndzri (empat, kiri) melawat lokasi pencemaran sungai yang berlumpur, dipercayai berpunca daripada kolam takungan milik sebuah syarikat perlombongan pasir yang pecah baru-baru ini di Sungai Sayong, hari ini. - Gambar Bernama
KOTA TINGGI: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor akan membantu 25 nelayan Orang Asli di Kampung Sungai Sayong di sini, untuk memohon pampasan daripada pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran di Sungai Johor.
Pengarah JAKOA Johor Faisal Long berkata ini memandangkan pencemaran yang berlaku telah menyebabkan kesemua nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada sumber sungai kehilangan punca pendapatan mereka.
"Tempoh pemulihan ekosistem sungai dan sumber ikan dijangka mengambil masa panjang, sekurang-kurangnya tiga tahun, berikutan kesan pencemaran yang serius terhadap benih dan habitat ikan.
"Kalau nak betul-betul pulih, bukan satu atau dua bulan paling kurang enam bulan untuk pemulihan awal, tapi secara menyeluruh mungkin sampai tiga tahun, sepanjang tempoh ini mereka memang tak dapat turun menangkap ikan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kotak Makanan daripada Ahli Parlimen Tenggara Manndzri Nasib, kepada nelayan terjejas di sini hari ini.
Faisal berkata JAKOA Johor akan membantu nelayan yang terjejas menerusi projek ternakan ikan sangkar, selain bekerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Pertanian bagi mengenal pasti tanaman sesuai untuk komuniti itu.
Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata kolam cucian pasir pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat di daerah Kota Tinggi.
Mohamad Fazli berkata kejadian itu berpunca daripada pergerakan tanah yang menyebabkan kolam cucian pasir keenam milik sebuah syarikat tempatan itu pecah, dan mencemari aliran Sungai Johor.
Ia sekali gus menyebabkan paras kekeruhan air mentah di Lembangan Sungai Johor mencatat peningkatan luar biasa hingga 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
Sementara itu Manndzri berkata antara cadangan yang dikemukakan termasuk pemberian bantuan khas kepada nelayan terjejas, serta pelaksanaan program pelepasan benih ikan dan udang di sungai berkenaan bagi memulihkan semula ekosistem akuatik yang musnah.
"Ekosistem sungai ni memang terkesan. Etok, jelawat, baung, udang galah semua mati dan ia bukan boleh pulih dalam setahun, mungkin ambil masa dua tiga tahun. Jadi inilah yang kita bimbangkan sebab mereka cari makan di situ," katanya.
Manndzri berkata pihak syarikat telah membawa masuk 10 jentera untuk membaik pulih ban yang pecah, dan tindakan segera oleh pihak berkuasa tempatan untuk melepaskan air dari Empangan Linggiu turut membantu mengurangkan takungan lumpur di kawasan terjejas.
Beliau menzahirkan rasa sedih terhadap kejadian itu, apatah lagi ketika negeri Johor bakal mengadakan Tahun Melawat Johor 2026, dengan sungai-sungai dan ekosistem semula jadi turut menjadi tarikan pelancongan.
"Ini bukan sekadar isu tempatan, tapi juga menjejaskan sungai Johor yang menjadi sumber 50 hingga 60 peratus bekalan air negeri. Jadi kita harap ada tindakan komprehensif oleh semua pihak," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


