MALAYSIA

Pencemaran Sungai Johor: Nelayan Orang Asli Sayong Pinang bergelut cari rezeki

Bernama 10/01/2026 | 10:40 MYT
Rata-rata nelayan mengeluh berikutan pendapatan dan hasil tangkapan sungai semakin merosot. - Gambar/ Bernama
KOTA TINGGI: Kira-kira 150 nelayan termasuk di Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini buntu memikirkan nasib mereka apabila kehidupan harian belum pulih sepenuhnya meskipun sudah dua bulan insiden pencemaran Sungai Johor berlalu.


Ringkasan AI
  • Kira-kira 150 nelayan di Kampung Orang Asli Sayong Pinang buntu dengan pendapatan merosot dan hasil tangkapan sungai berkurangan akibat pencemaran Sungai Johor dua bulan lalu.
  • Nelayan terpaksa mengubah lokasi menangkap ikan ke Sungai Linggiu dan hulu sungai lain yang mengambil masa perjalanan sehingga tiga jam, sementara menunggu Sungai Sayong Pinang pulih.
  • Nelayan kecewa dengan syarikat yang bertanggungjawab terhadap pencemaran kerana tidak memberi pampasan, menyebabkan mereka hanya mampu mendapat hasil tangkapan yang 'cukup makan'.


Rata-rata nelayan mengeluh berikutan pendapatan dan hasil tangkapan sungai semakin merosot, selain kesal dengan keadaan Sungai Sayong Pinang berhampiran kampung mereka yang semakin cetek hingga hanya paras paha.

Pengerusi Jaringan Nelayan Kampung Orang Asli Sayong Pinang Azman Inan berkata situasi itu dipercayai akibat 'silt' (sedimen) yang memasuki dan mendap di sungai apabila kolam takungan aktiviti perlombongan pasir darat oleh sebuah syarikat tempatan pecah.

Dia berkata keadaan itu memaksa nelayan tempatan mengubah haluan menangkap ikan dengan bergerak antara dua sungai utama iaitu Sungai Linggiu dan kawasan hulu sungai yang mengambil masa dua hingga tiga jam perjalanan, sementara menunggu sungai Sayong Pinang pulih.

"Adakalanya kami terpaksa merisikokan diri bermalam di ulu sungai dengan bertolak pada waktu petang, semata-mata menunggu hasil tangkapan pada keesokan harinya sebelum pulang semula ke jeti," katanya ketika ditemui Bernama di jeti nelayan kampung berkenaan di sini hari ini.

Azman berkata walaupun pelepasan benih ikan telah dibuat, tindakan itu masih belum mampu memulihkan ekosistem sungai yang terjejas teruk akibat pencemaran tersebut, yang sebelum ini menyaksikan bacaan kekeruhan air mentah tertinggi iaitu 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU).

Situasi itu menyebabkan lebih satu tan ikan seperti baung, lampam serta jelawat mati dan terapung di sungai berkenaan.

"Nelayan juga kecewa apabila syarikat yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap pencemaran itu, seolah-olah lepas tangan apabila tidak melayan tuntutan pampasan yang telah dikemukakan walaupun laporan polis telah dibuat dua kali.

"Kami sangat berharap syarikat ini tampil, sekurang-kurangnya hantar wakil untuk berbincang dengan kami tapi malangnya tiada," katanya.

Jika dahulu nelayan pulang dengan senyuman apabila membawa pulang puluhan kilogram ikan dan udang, kini mereka hanya mampu tersenyum kelat dengan seekor atau dua ekor ikan baung di tangan.

Sementara itu, tinjauan Bernama hari ini mendapati beberapa nelayan yang ditemui ketika baru pulang dari ulu sungai, mengakui hasil tangkapan mereka hanya "cukup makan".

"Kalau setakat seekor dua ekor ini, nak jual pun segan, buat makan di rumah saja dan untuk dapatkan semula modal minyak enjin bot. Sekali turun sungai dah belanja kira-kira RM20 hingga RM30 untuk minyak," kata Mazuri Mat, 43.

Rakannya, Aris Adong, 55, yang menjadi nelayan sejak berusia 18 tahun berkata dahulu kawasan sungai Sayong Pinang adalah lubuk ikan dan mereka boleh memperoleh pendapatan hingga kira-kira RM1,000 sehari jika hasil tangkapan banyak.

Dia yang ditemui hari ini di jeti berkenaan berkata hanya memperoleh seekor ikan baung, setelah turun sejak awal pagi ke kawasan Sungai Linggiu kira-kira dua kilometer atau 30 minit perjalanan menaiki bot.

"Penghasilan kita memang sangat merosot tapi kita tak boleh buat apa-apa sebab ini sahaja mata pencarian kami, walapun hasil sikit terpaksa turun juga untuk tanggung keluarga," katanya yang mempunyai tiga anak masih bersekolah.

Aris juga juga khuatir bund' atau benteng perlombongan pasir itu boleh pecah lagi terutamanya pada musim tengkujuh, dan berharap kerajaan negeri memantau perkara itu.

Insiden pencemaran sepanjang Sungai Johor di Kota Tinggi pada Okt lepas adalah paling buruk direkodkan membabitkan sumber bekalan air di Johor dengan menjejaskan lebih 292,000 akaun termasuk di kawasan Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.

-- BERNAMA



#suara rakyat #Orang Asli #Sayong Pinang #pencemaran Sungai Johor