MALAYSIA

Pencemaran Sungai Sayong: JAS Johor, Jabatan Perikanan jalankan siasatan

Bernama 25/01/2026 | 16:19 MYT
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Jabatan Perikanan sedang menyiasat insiden pencemaran air Sungai Sayong di Kampung Orang Asli Sayong Pinang yang dilaporkan bertukar gelap kehitaman pagi tadi. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Jabatan Perikanan sedang menyiasat insiden pencemaran air Sungai Sayong di Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini yang dilaporkan bertukar gelap kehitaman pagi tadi.


Ringkasan AI
  • Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Jabatan Perikanan sedang menyiasat insiden pencemaran air Sungai Sayong di Kampung Orang Asli Sayong Pinang yang berubah gelap kehitaman.
  • Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim, menegaskan kesan pencemaran sungai terhadap kehidupan penduduk, nelayan darat, ekosistem sungai, dan kelestarian alam sekitar perlu ditangani dengan serius.
  • Siasatan sementara menunjukkan tiada bukti pencemaran daripada Kilang Sawit Penggeli (KKS Penggeli), namun penyiasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti Hahasrin Hashim berkata beliau telah menerima aduan daripada penduduk berhubung insiden itu dan segera meminta kedua-dua jabatan mengenal pasti punca pencemaran serta tahap kesannya terhadap alam sekitar dan sumber perikanan setempat.

"Isu pencemaran sungai bukan perkara kecil. Ia memberi kesan langsung kepada kehidupan penduduk, nelayan darat, ekosistem sungai dan kelestarian alam sekitar. Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang bentuk pencemaran yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat," katanya dalam kenyataan di Facebook malam ini.

Beliau berkata susulan aduan penduduk berhubung perubahan warna air sungai itu satu pemeriksaan telah dijalankan oleh JAS Johor pada 3.15 petang tadi.

"Pasukan JAS telah tiba di jeti Kampung Orang Asli Sayong Pinang dan mendapati air sungai memang berwarna gelap kehitaman. Wakil penduduk yang juga pengadu telah ditemui bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Menurut pengadu kejadian disedari sekitar 10 pagi dan setakat pemeriksaan dibuat, tiada ikan mati dikesan sama ada di sungai mahupun di sangkar milik penduduk. Pengadu turut memaklumkan bahawa aliran air dipercayai dari arah Kilang Sawit Penggeli (KKS Penggeli). Ujian kualiti air menggunakan alat YSI turut dijalankan oleh pihak JAS di lokasi," katanya menerusi hantaran tersebut.

Hahasrin berkata siasatan ke KKS Penggeli mendapati tiada pelepasan efluen berlaku, manakala air larian dari kawasan Empty Fruit Bunch (EFB) pula dialirkan ke telaga sebelum ke kolam fakultatif, dan tinjauan dron serta pemeriksaan parit tidak menemui limpahan atau kebocoran efluen.

Selain itu, beliau berkata dapatan awal JAS tidak menemui sebarang bukti pencemaran daripada KKS Penggeli dan tiada petunjuk kilang itu menyumbang kepada pencemaran Sungai Sayong, namun siasatan lanjut akan diteruskan ke bahagian hulu sungai bagi mengenal pasti punca sebenar.

Hahasrin berkata beliau akan terus memantau perkembangan bagi memastikan tindakan susulan diambil demi kebajikan penduduk serta kelestarian alam sekitar dan merakamkan penghargaan kepada penduduk yang cakna serta JAS Johor dan Jabatan Perikanan atas tindakan pantas.

Pada 31 Okt lepas, tiga kampung iaitu Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kampung Orang Asli Pasir Intan dan Kampung Orang Asli Kempas Menang dilapor terjejas akibat pencemaran sungai apabila kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor bernampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Susulan insiden itu, aktiviti nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor dilaporkan terjejas selain turut mengakibatkan gangguan bekalan air di daerah Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi.

-- BERNAMA


#Jabatan Alam Sekitar #JAS Johor #Sungai Sayong #Kampung Orang Asli Sayong Pinang