KUALA LUMPUR:Sebahagian pengguna di kawasan Lembah Klang yang terjejas akibat gangguan bekalan air berikutan pencemaran di Sungai Selangor dijangka akan mula menerima semula bekalan pagi esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah memulakan operasi rawatan air pada jam 6 petang tadi.

Kata kenyataan itu, berdasarkan perkembangan terbaharu itu, bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna jam 8 pagi Selasa.

Menurut kenyataan itu, keempat-empat loji itu juga akan memaksimumkan pengeluaran dan memenuhi paip-paip utama dan kolam terminal.

“Air Selangor telah menyediakan pelan pemulihan bekalan air untuk 1,292 kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Berdasarkan jadual tersebut, bekalan air di 594 kawasan dijangka pulih sepenuhnya pada Rabu ini bermula jam 8  pagi.

Sebanyak 266 kawasan lagi akan pulih sepenuhnya pada Khamis, bermula jam 8 pagi dan selebihnya iaitu 432 kawasan pulih sepenuhnya bermula Jumaat, waktu yang sama.

Jadual pemulihan air mengikut jangkaan Air Selangor.

“Air Selangor memohon kerjasama pengguna agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di semua kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan bekalan air.

“Air Selangor akan memaklumkan status pelan pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang,” ujarnya.