- * Malaysia, Filipina gesa penceroboh serah diri
- * Kumpulan penceroboh rela mati di Lahad Datu
- * Penceroboh kini dikepung pihak berkuasa
- * Komando VAT 69 terkorban dinaikkan pangkat
- * Jenazah dibawa pulang ke tanah air
- * Tiga anggota cedera kini stabil di hospital
KUALA LUMPUR: Saki baki penceroboh bersenjata daripada kumpulan pengikut Sultan Sulu yang berkubu di Kampung Tanduo kira-kira 30 kilometer dari Lahad Datu diberi kata dua —serah diri atau sedia berdepan dengan tindakan daripada pihak keselamatan Malaysia.
"Serah diri atau berdepan tindakan pihak berkuasa," kata Najib.
Jelas beliau, kerajaan bertegas dalam hal ini kerana kumpulan itu telah melakukan jenayah yang amat serius kerana menceroboh kedaulatan negara dengan senjata dan membunuh anggota keselamatan negara.
Perdana Menteri berkata demikian di Subang selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota Komando VAT 69 yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada Jumaat.
Pengecut
Menurut Perdana Menteri, beliau dimaklumkan bahawa anggota komando VAT 69 telah diperangkap oleh kumpulan penceroboh itu yang mengibarkan bendera putih tanda hendak menyerah diri.
Mereka bagaimanapun bertindak menyerang setelah dihampiri oleh pasukan polis.
"Tindakan kumpulan itu menggunakan taktik berkenaan adalah satu tindakan pengecut," tegas Najib.
Sementara itu, agensi berita AFP melaporkan, Presiden Filipina, Benigno Aquino III menggesa pengikut Sultan Jamalul Kiram III agar "menyerah diri sekarang" dan pada masa sama menyelar tindakan mereka kerana memilih jalan yang salah untuk menuntut kedaulatan ke atas Sabah.
“Kalau ada sebarang masalah, jalan yang anda pilih itu salah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Saki-baki kumpulan penceroboh bersenjata itu pada Sabtu menegaskan tidak akan berundur sebaliknya rela terkorban di Lahad Datu.
Mereka kini dikepung oleh pasukan keselamatan Malaysia sehari selepas pertempuran berdarah yang jadi kemuncak perkembangan sejak penceroboh itu masuk ke Lahad Datu 9 Februari lalu. Pertempuran itu membunuh dua komando VAT 69 dan 12 penceroboh.
Tiga lagi anggota pasukan keselamatan Malaysia cedera dan dirawat di Lahad Datu dan Sandakan.
Degil
Aquino berkata, usaha Manila untuk mengelak pertumpahan darah kini sia-sia kerana kumpulan itu berdegil meneruskan tuntutan mereka ke atas Sabah.
“Tindakan yang adil dan satu-satunya tindakan yang betul untuk dilakukan sekarang ialah menyerah diri."
“Apa yang (kerajaan Filipina) cuba elakkan sudah berlalu kerana jalan yang telah anda pilih.
“Kepada warga (Filipina) di Lahad Datu, sejak awal lagi objektif kami ialah untuk mengelakkan korban nyawa dan pertumpahan darah. Bagaimanapun, anda tidak menyokong objektif tersebut," kata Aquino.
Sementara itu, Bernama melaporkan kenyataan sama ditegaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Lahad Datu selepas diberi taklimat mengenai keadaan semasa dan pertempuran pada Jumaat.
"Selepas insiden semalam, mereka (penceroboh) tidak ada pilihan lain sama ada mereka letak senjata dan menyerah diri atau terpaksa berhadapan dengan apa jua tindakan yang pihak berkuasa terpaksa ambil," katanya.
Majlis taklimat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib itu turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Hishammuddin tiba di Lahad Datu pada pagi Sabtu dan akan berada di Sabah sehingga kes pencerobohan membabitkan kumpulan itu selesai.
Pada sidang media yang sama, Ismail berkata, pada masa ini polis sudah tidak mempunyai pilihan lain, selain menamatkan insiden itu secepat mungkin berikutan tindakan kumpulan penceroboh itu semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa situasi semasa adalah terkawal dan kumpulan tersebut telah terkepung di Kampung Tanduo oleh pasukan keselamatan yang kini mengawal keadaan.
"Saya nak beri amaran kepada mereka dalam keadaan semasa kini, elok mereka serah diri. Masa sudah banyak diberi. Perbuatan mereka ini telah tidak memberi pilihan lain kepada saya.
"Saya tidak ada pilihan sekarang selain untuk mengambil tindakan yang ada untuk menangkap mereka. Sekali lagi saya minta mereka letak senjata dan serah diri. Jika tidak saya tidak ada pilihan tetapi akan mengambil tindakan drastik dan tindakan sewajarnya bagi menamatkan keadaan," tegas Ismail.
Undang-undang
Beliau turut menegaskan bahawa penceroboh yang menyerah diri kelak tetap akan diambil tindakan berdasarkan undang-undang Malaysia kerana kumpulan berkenaan sudah melakukan kesalahan yang amat serius di negara ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata, kehidupan seharian di Lahad Datu berjalan seperti biasa dan tidak ada perintah berkurung diisytiharkan. Kawasan operasi polis tertumpu di kawasan Kampung Tanduo.
Katanya, polis turut mempertingkat langkah keselamatan melalui sekatan-sekatan jalan raya dan keadaan itu akan diteruskan.