MALAYSIA

Penceroboh nelayan Vietnam berleluasa di perairan Terengganu pada musim tengkujuh

Bernama 14/12/2025 | 15:30 MYT
Mat Yassin meminta pihak berkuasa seperti Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia untuk meningkat pemantauan bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing pada musim tengkujuh. - Gambar fail/Bernama
DUNGUN: Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) menzahirkan kerisauan akan kegiatan pencerobohan bot nelayan Vietnam, yang dilihat berleluasa di perairan negeri pada musim tengkujuh ini.


Ringkasan AI
  • Penentu Terengganu mengesahkan kebimbangan mengenai pencerobohan bot nelayan Vietnam di perairan negeri pada musim tengkujuh.
  • Bot nelayan asing menggunakan pukat tunda ganding yang merosakkan ekosistem marin dengan tidak terjejas oleh kurangnya bot nelayan tempatan di laut pada musim tersebut.
  • Penentu meminta pihak berkuasa seperti Maritim Malaysia dan Polis Marin meningkatkan pemantauan bagi mengatasi masalah pencerobohan ini demi keselamatan hidupan laut pada masa hadapan.


Pengerusi Penentu Mat Yassin Mohamed berkata bot nelayan asing itu, seolah-olah tidak takut memasuki perairan negeri untuk menangkap hasil laut kerana mereka percaya operasi pihak berkuasa berkurangan ketika cuaca buruk dan ombak bergelora.

Beliau berkata mereka juga bebas di perairan itu, apabila jumlah bot nelayan tempatan tidak banyak keluar ke laut pada musim tengkujuh.

"Kebanyakan bot nelayan asing yang menceroboh pengairan negeri ini dikesan menggunakan pukat tunda ganding yang telah lama diharamkan di Malaysia.

"Penggunaan pukat tunda ganding kebiasaannya membabitkan radius satu kilometer bagi menangkap hasil laut termasuk yang belum matang seterusnya merosakkan ekosistem marin," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mat Yassin berkata kawasan perairan Terengganu menjadi tumpuan nelayan asing pada musim cuaca buruk ini, kerana mempunyai hasil hidupan laut yang tinggi.

Sehubungan itu beliau meminta pihak berkuasa seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia untuk meningkat pemantauan bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing pada musim tengkujuh.

Mat Yassin berkata tindakan itu, perlu diberi perhatian segera kerana bimbang ia akan menjejaskan hidupan laut pada masa hadapan.

-- BERNAMA



#cuaca buruk #Maritim Malaysia #musim tengkujuh #nelayan