Aktiviti pencerobohan bot pukat tunda serta penangkapan ikan tidak terkawal yang berleluasa di pesisiran Kuala Selangor menjejaskan pendapatan nelayan pantai di kawasan berkenaan di samping memberi kesan kepada kemusnahan ekosistem perairan negara.

Tinjauan Astro AWANI di Kampung Sungai Yu menyaksikan keluhan dan masalah dialami nelayan tempatan berpunca akibat aktiviti pencerobohan asing yang semakin serius itu.

Nasib nelayan di sini kini saling tidak ubah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Menurut nelayan pantai, Yasir Mohammed, 51, dahulu beliau berjaya meraih pendapatan lumayan melalui sumber di pesisiran Kuala Selangor tetapi kini mulai berdepan nasib yang tidak menentu.

Pendapatan para nelayan di sini boleh mencecah RM12,000 sebulan, namun kini kurang daripada RM4,000 sebulan selepas berlaku aktiviti pukat tunda secara haram di kawasan itu.

Keadaan itu turut dirasai nelayan udang yang memberitahu bahawa tangkapan udang berkurangan sebanyak 50 peratus.

"Kami keluar tangkap udang tapi tak banyak sebab bot pukat tunda masuk kawasan kami. Habis semua permukaan dasar laut rosak akibatnya kami tidak dapat menangkap udang,” ujar Ong Lui Hap yang merupakan salah seorang nelayan udang di kawasan berkenaan.

Nelayan yang ditemui turut mendakwa aktiviti memukat tunda sering dilakukan pada waktu malam untuk mengelak daripada dikesan dan cubaan mereka sebelum ini untuk menghalang aktiviti pencerobohan itu juga tidak berjaya.

Pencerobohan dilaporkan semakin berleluasa sejak musim tengkujuh lalu dan ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan malah turut memusnahkan alat penangkapan ikan mereka.

Mengikut undang-undang maritim, bot pukat tunda tidak dibenarkan memasuki kawasan penangkapan Zon A iaitu jarak kurang lima batu nautika daripada pesisir pantai.

Justeru itu, para nelayan pantai berharap agar pihak berkuasa meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan keras terhadap pihak tidak bertanggungjawab mengaut habis hasil laut terbabit.