Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
NATIONAL

Penculikan Pamela Ling: Polis sahkan lima kereta digunakan, lapan suspek terlibat

Umavathi Ramayah 08/05/2025 | 05:40 MYT
Rusdi berkata, rakaman CCTV menunjukkan terdapat lima kenderaan terlibat termasuk dua Nissan Teana dan masing-masing satu Toyota Camry, Perodua Myvi dan Nissan Almera. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lapan individu dan lima buah kenderaan terlibat dalam kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh yang berlaku di Putrajaya pada 9 April lalu.


Ringkasan AI
  • Polis mengesahkan sekurang-kurangnya lapan individu dan lima kenderaan digunakan dalam penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh di Putrajaya pada 9 April.
  • Tiga daripada lima kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran klon untuk mengelirukan pihak berkuasa.
  • Rakaman CCTV menunjukkan suspek menggunakan beberapa kenderaan untuk menghalang laluan mangsa dan mengawal aliran trafik sebelum bergerak keluar dari Putrajaya ke arah berasingan.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan lima kenderaan termasuk dua buah Nissan Teana serta masing-masing sebuah Toyota Camry, Perodua Myvi dan Nissan Almera.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga buah kenderaan, Nissan Teana, Toyota Camry dan Perodua Almera digunakan untuk menghalang kereta e-hailing yang dinaiki mangsa, manakala dua lagi iaitu sebuah lagi Nissan Teana dan Perodua Myvi digunakan untuk menghalang aliran trafik di kawasan kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, pada Khamis.

Tambah Rusdi, tiga daripada lima kenderaan itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran klon.

"Kita telah menemui pemilik asal nombor pendaftaran berkenaan dan mereka mengesahkan bahawa kenderaan mereka berada bersama mereka ketika kejadian berlaku. Ini bermaksud nombor pendaftaran tersebut telah diklon," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua kenderaan terbabit dilihat terus bergerak keluar dari Putrajaya menuju ke arah berasingan dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu.





#Pamela Ling #kes penculilan #PDRM #SPRM #terkini