MALAYSIA

Pencuri larikan kereta, tidak sedar remaja perempuan duduk belakang

Sinar Harian 19/01/2026 | 05:10 MYT
Mangsa dan kenderaan terbabit telah dijumpai selamat di tepi jalan berhampiran sebuah restoran kira-kira empat kilometer (km) dari lokasi kejadian.
SHAH ALAM: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun berdepan detik cemas selepas dipercayai dilarikan individu tidak dikenali semasa berada dalam kenderaan di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah menengah di Seksyen 25 di sini pada Ahad.


Ringkasan AI
  • Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun hampir diculik individu tidak dikenali di tepi sebuah sekolah menengah di Seksyen 25, Shah Alam.
  • Mangsa selamat setelah dilarikan dalam kereta Perodua Viva dan dijumpai empat kilometer dari tempat kejadian.
  • Polis masih mencari suspek yang terlibat dalam kes penculikan tersebut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam sebelum pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.

Menurutnya, dalam insiden itu, mangsa berada dalam kereta jenis Perodua Viva.

"Siasatan mendapati mangsa telah meminta kunci kereta daripada bapanya bagi menghidupkan enjin kerana ingin duduk di dalam kereta.

"Mangsa telah duduk di bahagian tempat duduk belakang dan bermain telefon bimbit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ramsay berkata, suspek kemudian telah memasuki kereta itu dan hanya menyedari terdapat mangsa apabila remaja itu menjerit.

Tambahnya, suspek tidak bertindak kasar namun hanya mengarahkan mangsa untuk diam.

Hasil maklumat awam katanya, mangsa dan kenderaan terbabit telah dijumpai selamat di tepi jalan berhampiran sebuah restoran kira-kira empat kilometer (km) dari lokasi kejadian.

"Mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan namun masih trauma atas kejadian yang berlaku.

"Kenderaan yang dijumpai telah diperiksa oleh Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sebelum dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Tegasnya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak di bawah umur daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394," katanya. - Sinar Harian










#kes curi kereta #lelaki larikan remaja perempuan #Ramsay Embol #kes curi kenderaan