Skip to main content

Malaysia

Pendaftaran OKU tertakluk kriteria, penilaian perubatan - JKM

JKM turut menegaskan setiap individu yang memerlukan perhatian dan sokongan kebajikan akan diberikan pertimbangan sewajarnya berdasarkan keperluan dan dasar yang berkuat kuasa.
JKM turut menegaskan setiap individu yang memerlukan perhatian dan sokongan kebajikan akan diberikan pertimbangan sewajarnya berdasarkan keperluan dan dasar yang berkuat kuasa.

Advertisement

PUTRAJAYA: Proses pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) adalah berdasarkan Garis Panduan Pendaftaran OKU (Pindaan 2019) yang dibangunkan secara bersama oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan.

JKM dalam kenyataan pada Jumaat  memaklumkan ia juga melibatkan pakar perubatan yang merupakan ahli Jawatankuasa Pendaftaran OKU di bawah Majlis Kebangsaan Bagi OKU. 

“Garis panduan ini menjadi rujukan dalam memastikan proses penilaian dan pendaftaran OKU dilaksanakan secara profesional, sistematik dan berasaskan kriteria ditetapkan.

“Penilaian pula berdasarkan tahap kefungsian dan ketidakupayaan individu oleh pegawai perubatan, pengamal perubatan atau pakar perubatan melalui Borang Permohonan Pendaftaran Orang Kurang Upaya (BPPOKU Pindaan 2/2019),” kata JKM.

Menurut JKM, penilaian itu mengambil kira tujuh domain yang ditetapkan bagi mengukur tahap kefungsian seseorang individu antaranya ketidakupayaan urus diri, pergerakan dan kemahiran motor halus (dexterity functions).

Bagi permohonan yang tidak memenuhi kriteria ditetapkan bagi domain berkaitan, permohonan pendaftaran tidak dapat diluluskan oleh Pendaftar OKU. 

“Bagaimanapun, pemohon mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 24 (2) Akta Orang Kurang Upaya 2008,” kata JKM.

JKM turut menegaskan setiap individu yang memerlukan perhatian dan sokongan kebajikan akan diberikan pertimbangan sewajarnya berdasarkan keperluan dan dasar yang berkuat kuasa.

Jabatan itu sentiasa komited memastikan kebajikan golongan yang memerlukan terus diberi perhatian melalui penyediaan bantuan dan perkhidmatan kebajikan bersesuaian dengan keperluan individu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement